Kedai TikTok atau TikTok Shop ialah platform perdagangan sosial yang berkembang pesat dengan lebih daripada 70 juta produk. Dilancarkan pada 2023, Kedai TikTok dijangka mencatat jualan sebanyak AS$23.41 bilion di Amerika Syarikat pada 2026, sekali gus berpotensi mengatasi jumlah jualan peruncit besar seperti Costco dan Target.
Dalam artikel ini, ketahui cara Kedai TikTok boleh membantu perniagaan anda, cara mendaftar Kedai TikTok serta amalan terbaik yang perlu diikuti apabila menjual produk di TikTok.
Apakah Itu Kedai TikTok??
Kedai TikTok ialah platform perdagangan sosial yang membolehkan anda menjual produk dan menjana pendapatan melalui TikTok. Dengan ciri beli-belah TikTok, akaun anda boleh menjadi kedai dalam talian digital yang membolehkan pembeli membuat pembelian tanpa perlu meninggalkan aplikasi.
Terdapat beberapa cara pengguna boleh mengakses Kedai TikTok anda:
- Profil. Apabila pengguna mengklik profil anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang perniagaan anda atau menonton kandungan anda, ikon beg beli-belah dengan perkataan “Shop” akan dipaparkan pada profil anda.
- Tab Shop. TikTok mempunyai tab “Shop” pada bahagian atas aplikasi yang memaparkan cadangan produk dan tawaran berdasarkan minat pengguna.
- Video boleh beli. Video boleh beli menyertakan pautan pada bahagian bawah skrin yang membolehkan pengguna membeli produk tanpa perlu meninggalkan video yang sedang ditonton. Video ini dipaparkan dalam suapan “For You” pengguna sebagai kandungan organik dan iklan serta pada tab “Shop”.
- TikTok Live. Melalui TikTok Live, anda boleh memaparkan senarai produk Kedai TikTok dalam siaran langsung sambil membuat demonstrasi produk. Tinjauan GlobalData pada 2025 mendapati bahawa 76% pengguna yang menggunakan Kedai TikTok telah membeli sesuatu semasa siaran langsung dalam tempoh setahun sebelumnya.
Cara menyediakan Kedai TikTok
- Mohon akaun Kedai TikTok untuk Penjual
- Sediakan Kedai TikTok anda
- Sambungkan Kedai TikTok anda pada kedai dalam talian
- Promosikan produk anda
Penyediaan Kedai TikTok melibatkan beberapa langkah:
1. Mohon akaun Kedai TikTok untuk Penjual
Mulakan dengan membuat akaun TikTok. Kemudian, pergi ke profil anda dan ketik menu hamburger di sudut kanan atas. Pilih Tetapan dan Privasi, kemudian akses Kedai TikTok untuk Penjual (TikTok Shop for Seller).
Seterusnya, pilih jenis perniagaan anda sama ada individu, milikan tunggal, perkongsian atau syarikat.
Selepas memilih jenis perniagaan, anda akan menerima maklumat tentang dokumen yang diperlukan untuk pengesahan. Bagi penjual di Malaysia, dokumen yang diperlukan bergantung pada jenis perniagaan yang didaftarkan.
Kedai TikTok tersedia di beberapa pasaran terpilih termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina. Keperluan pendaftaran dan pengesahan perniagaan mungkin berbeza mengikut lokasi.
Bahagian terakhir permohonan ialah memberikan maklumat tentang kedai anda. Masukkan nama kedai, logo, dan kategori produk utama, kemudian lengkapkan proses pendaftaran. Anda juga perlu memasukkan alamat e-mel untuk menerima kod pengesahan.
Selepas permohonan dihantar, TikTok akan menyemak permohonan anda dalam tempoh tiga hari bekerja.
2. Sediakan Kedai TikTok anda
Sementara menunggu, anda boleh mula memuat naik produk anda. Terdapat dua cara untuk melakukan perkara ini sama ada secara manual atau menggunakan ciri penyenaraian pantas TikTok.
Jika menggunakan penyenaraian pantas, anda boleh menampal URL produk daripada laman web lain (seperti Amazon atau kedai Shopify anda), memuat naik senarai produk secara pukal menggunakan templat Excel atau menyambungkan katalog produk daripada kedai Shopify anda.
Jika anda tidak pasti produk yang sesuai untuk dijual di TikTok, mulakan dengan melihat produk yang sedang popular di platform tersebut. Selain itu, pastikan anda memahami jenis produk yang tidak dibenarkan dijual di Kedai TikTok seperti alkohol, tembakau, haiwan, tumbuhan serta produk yang mengandungi unsur diskriminasi atau menyinggung perasaan.
3. Sambungkan Kedai TikTok anda pada kedai dalam talian
Jika anda mempunyai kedai Shopify, pasang aplikasi TikTok for Shopify supaya anda boleh menguruskan pesanan dan inventori Kedai TikTok anda. Promosi daripada kedai Shopify anda juga akan diselaraskan dengan Kedai TikTok. Anda juga boleh mengisi maklumat gudang, menetapkan penghantaran, menyelaraskan produk dan menghantar maklumat cukai.
Untuk menghubungkan Kedai TikTok dan kedai Shopify anda, ikuti langkah berikut:
- Pergi ke pentadbir Shopify anda, kemudian klik “Settings” dan pilih “Sales channels”.
- Klik Shopify App Store, cari TikTok dan tambahkan saluran tersebut.
- Pada halaman “Set Up TikTok Shop”, klik “Connect” pada bahagian Kedai TikTok dan log masuk.
- Anda akan diminta untuk menyambungkan akaun Shopify. Semak “TikTok Shop Merchant Terms of Service”, kemudian klik “Connect”.
- Pergi ke bahagian “Shop Information” dan klik “Verify”.
- Dalam kotak dialog “Upload Documents”, lengkapkan maklumat yang diperlukan. Klik “Next” dan “Finish Setup”.
Selepas melengkapkan langkah ini, padankan reka bentuk kedai dalam talian Shopify anda dengan Kedai TikTok untuk memastikan identiti jenama kekal konsisten. TikTok akan menyesuaikan imej, koleksi dan produk kepada format yang sesuai untuk Kedai TikTok.
Anda juga boleh menggunakan Kedai TikTok dengan platform e-dagang lain tetapi proses penyediaan mungkin berbeza mengikut platform.
4. Promosikan produk anda
Bangunkan strategi pemasaran TikTok untuk memperkenalkan Kedai TikTok anda kepada khalayak sasaran.
Iklan boleh mendorong pelanggan untuk membuat pembelian. Dalam tinjauan YouGov pada 2025, 45% responden menyatakan mereka membuat pembelian di TikTok kerana terpengaruh dengan iklan. Cipta akaun TikTok Ads Manager dan hubungkan akaun ini dengan akaun TikTok anda untuk menghasilkan iklan dengan pilihan sasaran yang tepat termasuk umur, lokasi dan tingkah laku pengguna. Anda boleh mencipta serta mengurus kempen iklan TikTok terus melalui pentadbir Shopify anda.
Seterusnya, bekerjasama dengan pencipta kandungan sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran pempengaruh TikTok anda dan manfaatkan pengaruh mereka dalam komuniti sasaran. Menurut laporan Influencer Trust Index: Consumer Insights 2025 yang diterbitkan oleh Better Business Bureau, 58% pengguna telah membuat pembelian selepas menerima cadangan daripada pempengaruh.
Manfaat Kedai TikTok
Menurut Emarketer, Kedai TikTok menyumbang 18.4% daripada keseluruhan perdagangan sosial di Amerika Syarikat pada 2025 dan dijangka meningkat kepada 24.1% menjelang 2027. Saluran jualan yang semakin berkembang ini menawarkan beberapa manfaat kepada perniagaan:
- Proses pembayaran lebih mudah. Selepas pelanggan memasukkan maklumat penghantaran dan pembayaran buat kali pertama, mereka boleh membuat pembelian seterusnya dengan hanya satu ketikan. Menurut Pymnts, hampir 20% pengguna akan memilih sesuatu saluran berdasarkan ketersediaan ciri pembayaran satu klik.
- Sesuai untuk perniagaan kecil. Perniagaan besar mahupun kecil bersama-sama meraih kejayaan di Kedai TikTok. Pada 2024, lebih daripada satu pertiga pembelian melalui Kedai TikTok setiap bulan dibuat daripada perniagaan kecil.
- Penemuan produk dan jenama. Kajian daripada GlobalData mendapati bahawa 83% pembeli di TikTok menemukan produk baharu melalui aplikasi tersebut, manakala 70% pengguna menemukan jenama baharu.
- Program pemasaran afiliasi terbina dalam. Perniagaan boleh bekerjasama secara terus dengan pencipta kandungan melalui aplikasi tanpa perlu menggunakan platform pihak ketiga.
- Alat untuk menggalakkan ulasan pelanggan. Kupon Ulasan Kedai TikTok ialah salah satu alat yang boleh digunakan oleh perniagaan untuk menggalakkan pelanggan meninggalkan ulasan. Ulasan positif membantu meningkatkan keyakinan pelanggan sebelum membuat pembelian.
Amalan terbaik Kedai TikTok
- Ikuti hanya trend yang paling relevan
- Bekerjasama dengan pencipta kandungan dan pempengaruh
- Gunakan ciri pemasaran afiliasi TikTok
- Bina kesetiaan pelanggan
Selepas Kedai TikTok anda mula beroperasi, pertimbangkan beberapa tip berikut untuk memaksimumkan jualan di TikTok:
Ikuti hanya trend yang paling relevan
Trend di TikTok berubah dengan pantas dan pengguna akan menyedari apabila jenama lambat menyertai trend yang sedang popular. Menurut Sprout Social Index 2025, 27% pengguna percaya bahawa penyertaan jenama dalam sesuatu trend hanya berkesan jika dilakukan dalam tempoh satu atau dua hari selepas trend tersebut bermula.
Daripada terburu-buru mengikuti setiap topik yang sedang popular, pengasas bersama Dieux Skin, Charlotte Palermino, mencadangkan agar perniagaan mempertimbangkan nilai atau perspektif yang boleh mereka sumbangkan terhadap sesuatu trend. “Jika anda rasa anda boleh bercakap tentang sesuatu selama 10 minit, hasilkan video mengenai topik tersebut dan cuba ringkaskan kepada dua minit,” katanya dalam satu episod podcast Shopify Masters.
Sebagai contoh, apabila konsep “looksmaxxing”, iaitu usaha lelaki untuk meningkatkan penampilan diri, mula menjadi trend dalam talian, Dieux menghasilkan karusel TikTok yang membincangkan isu wanita yang telah lama berdepan dengan piawaian kecantikan yang tidak adil. Walaupun jenama itu tidak mempromosikan produk mereka secara langsung dalam karusel tersebut, mereka menunjukkan kepada pengguna bahawa pembelian produk kecantikan tidak semestinya bertujuan memenuhi standard kecantikan tertentu. Idea ini selari dengan nilai jenama tersebut.
Bekerjasama dengan pencipta kandungan dan pempengaruh
Melalui pemasaran pempengaruh, jenama bekerjasama dengan pencipta kandungan dalam talian untuk membina kepercayaan dan mencapai khalayak sasaran.
Pada 2026, jenama melabur lebih banyak dalam pemasaran pempengaruh di TikTok berbanding mana-mana platform lain, menurut laporan penanda aras 2026 Influencer Marketing Hub.
Bagi jenama minyak wangi Dossier, TikTok menjadi sebahagian daripada komponen penting dalam strategi pemasaran mereka kerana format video membolehkan pempengaruh menerangkan wangian mereka secara lisan. “Sangat sukar untuk menerangkan konsep Dossier dan minyak wangi secara umum hanya dengan menunjukkan gambar produk. Cara itu tidak dapat menyampaikan cerita di sebaliknya,” kata pengasas Sergio Tache dalam Shopify Masters. “Kami sangat menumpukan usaha untuk bekerjasama dengan pempengaruh dan pencipta kandungan dalam format video. Kami mahu meningkatkan kesedaran tentang minyak wangi kami.”
Gunakan ciri pemasaran afiliasi TikTok
Perniagaan juga boleh membenarkan pencipta kandungan menjual produk mereka melalui program pemasaran afiliasi TikTok.
Melalui profil mereka, pencipta kandungan boleh menambah Showcase iaitu koleksi produk pilihan yang memautkan kepada satu atau beberapa jenama Kedai TikTok. Mereka juga boleh menggalakkan pengikut membeli produk tersebut melalui video atau TikTok Live. Apabila pengguna membuat pembelian, pencipta kandungan akan menerima komisen.
Menurut Lauren Kleinman, pengasas agensi PR Dreamday, ciri ini merupakan perkembangan besar dalam cara e-dagang berfungsi. “Cara ini membuka rangkaian afiliasi baharu yang beroperasi sepenuhnya dalam Kedai TikTok,” katanya dalam Shopify Masters.
Di TikTok, jenama tidak lagi perlu mencari rakan afiliasi melalui rangkaian pihak ketiga, manakala pencipta kandungan tidak perlu lagi mengarahkan pengikut dari media sosial ke laman web jenama menggunakan pautan afiliasi. Sebaliknya, jenama boleh bekerjasama dengan pencipta kandungan terus dalam ekosistem TikTok. Pengikut mereka boleh membuat pembelian terus melalui Kedai TikTok, manakala pencipta kandungan menerima komisen melalui TikTok.
Bina kesetiaan pelanggan
Mendapatkan jualan pertama di Kedai TikTok hanyalah permulaan. Pertumbuhan jangka panjang bergantung pada usaha menukar pembeli kepada pelanggan berulang. Dengan memberikan ganjaran atas kesetiaan pelanggan, anda boleh menukar pembeli sekali sahaja kepada penyokong jenama dalam jangka panjang.
Berikut ialah beberapa cara menggunakan Kedai TikTok untuk mengukuhkan kesetiaan pelanggan:
- Tawarkan keistimewaan eksklusif. Jalankan promosi seperti diskaun khas untuk pengikut, pakej masa terhad atau akses awal kepada produk baharu.
- Berikan pengalaman pembelian yang baik. Penghantaran pantas, dasar pemulangan yang jelas dan perkhidmatan pelanggan yang responsif membantu meyakinkan pelanggan untuk membeli dengan lebih yakin.
- Kekal berhubung melalui kandungan. Teruskan menghasilkan video menarik yang mendidik, menghiburkan dan berkongsi kisah pelanggan untuk membina hubungan berterusan.
- Beri ganjaran kepada pelanggan berulang. Gunakan promosi Kedai TikTok atau program kesetiaan untuk menggalakkan pembelian seterusnya.
Apabila pelanggan menyukai produk anda dan mempercayai jenama anda, mereka lebih cenderung untuk kembali membeli dan berkongsi pengalaman mereka dengan orang lain.
Soalan lazim tentang Kedai TikTok
Apakah yang saya perlukan untuk memulakan Kedai TikTok?
Jika ciri beli-belah TikTok tersedia di rantau anda, sambungkan kedai e-dagang anda pada TikTok menggunakan penyepaduan seperti aplikasi TikTok for Shopify. Anda boleh memohon Kedai TikTok terus melalui panel pentadbir Shopify anda.
Bagaimanakah saya boleh mempromosikan produk saya pada Kedai TikTok?
Antara cara untuk mempromosikan produk anda pada Kedai TikTok termasuk:
- Siarkan video kreatif yang menampilkan produk dan jenama anda
- Berinteraksi dengan pengikut anda dengan membalas komen, menjawab soalan dan mengadakan sesi soal jawab atau AMA (Ask Me Anything)
- Gunakan tanda pagar (hashtag) yang berkaitan untuk meningkatkan keterlihatan
- Kongsikan kandungan janaan pengguna untuk menunjukkan cara produk anda digunakan
- Tampilkan pempengaruh dan pencipta kandungan TikTok popular dalam video anda
- Gunakan iklan TikTok dan jalankan kempen berbayar
Apakah produk terbaik untuk dijual di TikTok?
Produk terbaik untuk dijual ialah produk yang sesuai dengan jenama anda dan memenuhi permintaan pengguna. Antara kategori produk yang popular di TikTok termasuk:
- Pakaian dan aksesori: Terokai #FashionTok, #JewelryTok
- Kecantikan dan penjagaan kulit: Terokai #BeautyTok, #SkincareTok, #HairTok
- Selongsong telefon dan aksesori teknologi: Terokai #Accessories
- Hiasan rumah: Terokai #DIYTok, #PlantTok, #CleanTok
- Kesihatan dan kesejahteraan: Terokai #GymTok, #TherapyTok
- Makanan dan minuman: Terokai #FoodTok, #CookTok, #WaterTok
- Bekalan seni dan kraf: Terokai #ArtTok, #CraftTok
- Mainan dan permainan: Terokai #GamingTok
- Buku dan alat tulis: Terokai #BookTok
Adakah Kedai TikTok berbaloi?
Ya, Kedai TikTok berbaloi kerana merupakan platform yang semakin berkembang dengan pengguna yang aktif. Kedai TikTok mengurangkan halangan untuk pengguna membeli produk, membolehkan mereka mengakses produk anda dengan lebih mudah melalui beberapa langkah sahaja. Kedai TikTok juga membolehkan jenama mempromosikan produk secara semula jadi melalui kandungan dan halaman produk.

