Jika anda ingin menjalankan kedai dalam talian tanpa perlu mengurus inventori, perniagaan dropship ialah model perniagaan yang menarik untuk anda cuba. Persoalannya, bagaimana anda mencari pembekal bagi produk yang ingin dijual?
Bagi kebanyakan usahawan, laman web atau aplikasi dropship ialah jawapannya. Platform ini menyediakan direktori pembekal dan pemborong, malah kebanyakan platform ini boleh disambungkan ke kedai dalam talian anda untuk mengautomatikkan pemenuhan pesanan.
Berikut ialah perbandingan 11 laman web dropship terbaik termasuk kelebihan, kekurangan dan kos penggunaan setiap platform.
Apakah itu perniagaan dropship?
Perniagaan dropship ialah model perniagaan e-dagang yang membolehkan produk dijual oleh peruncit dalam talian tetapi disimpan dan dihantar oleh pembekal atau syarikat pihak ketiga.
Tidak seperti membeli stok secara pukal daripada pembekal, kedai dalam talian yang menggunakan model dropship hanya membeli sesuatu produk selepas pelanggan membuat pesanan. Pembekal kemudian akan membungkus dan menghantar pesanan tersebut terus kepada pelanggan.
Perniagaan dropship menawarkan pelbagai kelebihan kepada pemilik perniagaan baharu. Model ini membantu usahawan yang memulakan perniagaan untuk menjimatkan kos, masa dan sumber yang biasanya diperlukan untuk mengurus inventori.
Laman web dropship terbaik: Ringkasan
Bandingkan ciri utama laman web dropship popular untuk membantu anda memilih platform yang paling sesuai untuk perniagaan anda:
| Laman | Harga | Inventori | Penghantaran | Sesuai untuk | Aplikasi Shopify |
|---|---|---|---|---|---|
| Shopify Collective | Percuma untuk pengguna Shopify | Jenama Shopify | Global (bergantung pembekal) | Pengguna Shopify | Ya |
| DSers | Percuma (sehingga 3,000 produk), kemudian $19.90 (kira-kira RM81)/bulan | 100 juta+ produk | Global | Integrasi AliExpress | Ya |
| Zendrop | $49 (kira-kira RM200)/bulan (pelan Pro) | 1 juta+ produk | AS dan Global | Penjenamaan produk | Ya |
| Syncee | Pelan percuma tersedia | 12,000+ jenama global | Global | Dropship antarabangsa | Ya |
| Spocket | Bermula $39.99 (kira-kira RM160)/bulan | 7 juta+ produk | AS, EU, global | Pembekal berjenama | Ya |
| Modalyst | Percuma (sehingga 25 produk), kemudian $35 (kira-kira RM140)/bulan | Jenama terkenal | AS dan Global (80+ negara) | Penjenamaan dan fesyen | Ya |
| Trendsi | Percuma | 100,000+ produk fesyen | AS | Pakaian wanita | Ya |
| DropCommerce | Pelan percuma tersedia | 400+ pembekal AS dan Kanada | Amerika Utara (3–5 hari) | Pasaran AS & Kanada | Ya |
| Wholesale Central | Percuma | Direktori pembekal | Bergantung pembekal (AS dominan) | Penyelidikan pembekal | Tidak |
| Worldwide Brands | $197 (kira-kira RM810) sekali bayar | 16 juta+ produk | Global (bergantung pembekal) | Pembekal bertauliah | Tidak |
| AI Dropship | Pelan percuma tersedia | Pembekal AS dan EU | 2–7 hari (sesetengah pasaran) | Penghantaran pantas antarabangsa | Ya |
Cara memilih laman web dropship terbaik
Kebanyakan platform dropship menawarkan fungsi yang hampir sama tetapi berbeza-beza dari segi kos, pilihan produk, polisi dan kemudahan penggunaan.
Pertimbangkan faktor berikut apabila memilih laman web dropship yang sesuai untuk perniagaan anda:
- Harga: Yuran langganan, yuran transaksi dan kos tambahan
- Inventori: Niche, pilihan produk dan ketersediaan jenama
- Penghantaran: Lokasi pembekal, destinasi penghantaran dan tempoh penghantaran
- Ciri utama: Fungsi unik, integrasi dan keupayaan automasi
- Sesuai untuk: Keperluan peniaga dan model perniagaan tertentu
- Penilaian aplikasi Shopify: Ulasan daripada peniaga Shopify
Ciri dan harga boleh berubah. Semak laman web setiap platform untuk mendapatkan maklumat terkini.

11 laman web dropship terbaik
- Shopify Collective
- DSers-AliExpress Dropshipping
- Zendrop
- Syncee
- Spocket
- Modalyst
- Trendsi
- DropCommerce
- Wholesale Central
- Worldwide Brands
- AI Dropship
Bagi ramai usahawan, memulakan perniagaan dropship bukan sesuatu yang mudah. Malah, memilih platform yang sesuai dengan keperluan perniagaan sendiri boleh menjadi satu cabaran. Ketahui lebih lanjut tentang cara memulakan perniagaan dropship.
Untuk memudahkan proses ini, kami telah mengulas 11 platform dropship paling popular yang digunakan oleh usahawan pada masa ini.
1. Shopify Collective
Senaraikan dan jual produk daripada jenama Shopify menggunakan Shopify Collective, ciri penyumberan produk terbina dalam Shopify yang percuma untuk pengguna Shopify yang layak.
Shopify Collective membolehkan anda meneroka jutaan produk daripada ribuan jenama Shopify yang disahkan dan mengimport produk ini terus ke kedai anda. Semasa proses pembayaran, Shopify Collective akan mengira kadar penghantaran dan menghalakan pesanan kepada pembekal untuk penghantaran kepada pelanggan.
Inventori produk dan harga disegerakkan antara kedai, sekali gus mengurangkan risiko jualan berlebihan.
Shopify Collective boleh digunakan secara percuma dan menawarkan margin keuntungan sekitar 20–50%.

- Harga: Percuma untuk peniaga Shopify yang layak. Langganan Shopify diperlukan.
- Kelebihan: Sumber produk terus daripada jenama Shopify yang disahkan, tanpa perantara atau platform pihak ketiga. Penyegerakan inventori masa nyata, pembayaran automatik dan penghalaan pesanan yang diperkemas terbina dalam.
- Disyorkan untuk: Pengguna Shopify yang ingin mendapatkan dan menjual produk berkualiti tinggi daripada jenama yang dipercayai tanpa perlu menyimpan inventori.
- Aplikasi Shopify: Ya.
2. DSers-AliExpress Dropshipping
Dari segi kepelbagaian produk, hanya sedikit syarikat dropship yang mampu menandingi AliExpress. Dilancarkan pada tahun 2010, platform runcit dalam talian ini menawarkan lebih 100 juta produk, jadi anda hampir pasti akan menemukan produk untuk dijual, tidak kira niche yang anda pilih.

Jika anda bercadang untuk melakukan perniagaan dropship dengan AliExpress, pilihan terbaik ialah menyambungkan kedai Shopify anda melalui aplikasi DSers. Dengan pelan percuma, pemalam DSers membolehkan anda meneroka jutaan produk AliExpress dan menambahkan produk pada kedai anda dengan hanya beberapa klik.
- Harga: Percuma untuk sehingga 3,000 produk. Pelan lanjutan bermula pada $19.90 (kira-kira RM81) sebulan.
- Kelebihan: Pilihan produk sangat luas, kos rendah dan mudah disegerakkan dengan kedai Shopify.
- Kekurangan: AliExpress ialah salah satu platform dropship paling popular, jadi produk anda mungkin turut dijual oleh peruncit lain.
- Disyorkan untuk: Peniaga baharu dengan bajet terhad yang ingin membina jenama kukuh serta memilih rangkaian produk yang menarik.
- Aplikasi Shopify: Ya.
3. Zendrop
Zendrop ialah aplikasi Shopify popular yang menawarkan perkhidmatan dropship dan cetak atas permintaan. Pemalam ini dibangunkan oleh peniaga dropship berpengalaman, susulan masalah biasa dalam platform dropship lain seperti ketidakkonsistenan pembekal dan penghantaran yang tidak menentu.
Hasilnya, Zendrop menawarkan antara muka yang mudah digunakan untuk menambah produk ke kedai anda. Sesetengah produk disimpan di gudang luar negara seperti Amerika Syarikat yang boleh mempercepatkan penghantaran berbanding penghantaran antarabangsa biasa. Namun, tempoh penghantaran ke Malaysia bergantung pada lokasi pembekal dan kurier. Selain itu, peniaga juga boleh menyediakan pembungkusan tersuai dan kotak langganan untuk menggalakkan pelanggan berulang.

- Harga: Selepas percubaan percuma tujuh hari, pelan Pro menawarkan pesanan tanpa had pada harga $49 (kira-kira RM200) sebulan.
- Kelebihan: Produk dari AS, pembungkusan tersuai dan fokus kepada pembekal yang lebih dipercayai.
- Kekurangan: Zendrop hanya tersedia untuk peniaga Shopify dan harga lebih tinggi berbanding beberapa aplikasi lain.
- Disyorkan untuk: Peniaga Shopify yang mencari perantara berpengalaman antara kedai dengan pembekal.
- Aplikasi Shopify: Ya.
4. Syncee
Syncee menyediakan akses kepada lebih 12,000 jenama global, menjadikan platform ini sesuai untuk menjual kepada pelanggan di seluruh dunia.
Platform ini menawarkan penyegerakan inventori dan pesanan secara automatik, membolehkan anda mula menjual tanpa perlu mengurus stok atau penghantaran. Ramai pembekal di Syncee juga menawarkan pilihan borong, membolehkan anda menguji produk melalui dropship sebelum beralih kepada model borong untuk margin lebih tinggi.
- Harga: Pelan percuma membenarkan import sehingga 25 produk, dengan pelan premium untuk katalog yang lebih besar.
- Kelebihan: Rangkaian pembekal global yang luas, sokongan 24/7 serta pilihan dropship dan borong.
- Kekurangan: Pangkalan pembekal yang besar mungkin memerlukan lebih banyak penelitian untuk mencari rakan kongsi yang sesuai.
- Disyorkan untuk: Peniaga dropship antarabangsa yang mencari kepelbagaian pembekal global.
- Aplikasi Shopify: Ya.
5. Spocket
Spocket ialah perkhidmatan pemenuhan pesanan dengan rangkaian pembekal yang luas, kebanyakannya berpusat di Amerika Syarikat dan Eropah. Untuk kedai antarabangsa, platform ini juga mempunyai pembekal di Kanada, Asia, Australia dan Brazil.
Dengan aplikasi Spocket, anda boleh melayari produk daripada pembekal dan menambah produk ini pada kedai Shopify anda dengan satu klik. Platform ini juga mengautomatikkan keseluruhan proses pesanan dengan produk dihantar terus kepada pelanggan.

Spocket turut menawarkan ciri invois berjenama yang membolehkan anda mencipta invois tersuai yang dihantar bersama produk anda. Pembungkusan berjenama membantu untuk meningkatkan kesedaran jenama dan pengekalan pelanggan (dan diperlukan untuk perniagaan dropship Amazon).
- Harga: Untuk mengakses kebanyakan ciri, anda memerlukan pelan Starter pada harga $39.99 (kira-kira RM160) sebulan.
- Kelebihan: Invois berjenama membantu perniagaan lebih mudah diingati oleh pelanggan. Untuk pembekal dan lokasi pelanggan tertentu, masa penghantaran juga lebih pantas.
- Kekurangan: Spocket boleh menjadi agak mahal. Invois berjenama hanya tersedia pada pelan Pro yang menawarkan lebih sedikit produk berbanding beberapa aplikasi dropship lain pada harga lebih tinggi.
- Disyorkan untuk: Peniaga yang mempunyai modal permulaan dan ingin membina penjenamaan produk sendiri.
- Aplikasi Shopify: Ya.
6. Modalyst
Modalyst ialah aplikasi dropship automatik yang terkenal kerana menawarkan produk daripada jenama besar. Menjual produk daripada syarikat yang sudah dikenali pelanggan boleh meningkatkan kepercayaan terhadap jenama anda sendiri dan memberikan kelebihan pada kedai dalam talian anda.
Untuk peniaga di Amerika Syarikat, Modalyst menawarkan pasaran pembekal yang menghantar pesanan domestik dalam tempoh enam hingga lapan hari. Untuk peniaga global, pembekal pada platform ini menghantar pesanan ke lebih daripada 80 negara. Aplikasi ini juga mempunyai integrasi API dengan AliExpress melalui sambungan Chrome.

Modalyst turut menawarkan koleksi produk mesra alam yang dihasilkan daripada bahan lestari, sesuai untuk peniaga yang ingin mengurangkan impak karbon. Selain itu, anda juga boleh menambah penjenamaan sendiri melalui program dropship label peribadi.
- Harga: Pelan percuma Modalyst membenarkan automasi sehingga 25 produk. Untuk 250 produk, harga bermula pada $35 (kira-kira RM140) sebulan.
- Kelebihan: Kos rendah dengan ciri automasi yang lengkap, walaupun dengan pelan percuma. Platform ini juga menawarkan pelbagai produk daripada jenama terkenal.
- Kekurangan: Stok produk di Modalyst boleh habis dengan cepat terutamanya bagi jenama popular. Sesetengah peniaga Shopify juga melaporkan isu pada aplikasi.
- Disyorkan untuk: Peniaga dengan bajet terhad yang ingin menjual produk daripada jenama terkenal dengan kos rendah.
- Aplikasi Shopify: Ya.
7. Trendsi
Banyak kedai e-dagang menyasarkan khalayak atau niche tertentu. Bagi peniaga seperti ini, lebih sesuai untuk memilih pembekal yang memberikan fokus kepada kategori produk yang sama.
Trendsi ialah pemborong yang direka khusus untuk peniaga yang menjual pakaian wanita di Amerika Syarikat. Aplikasi Shopify ini menawarkan lebih 100,000 produk fesyen untuk dihantar kepada pelanggan dalam tempoh dua hingga 10 hari, lengkap dengan invois berjenama daripada kedai anda.

Peringkat Luxe Trendsi menawarkan penghantaran lebih pantas serta akses kepada pakaian, kasut dan aksesori berjenama.
- Harga: Pelan percuma tersedia; pelan berbayar bermula pada $29.90 (kira-kira RM130) sebulan.
- Kelebihan: Fokus pada kategori pakaian wanita, sesuai untuk peruncit fesyen khusus. Produk berpusat di Amerika Syarikat membolehkan penghantaran lebih pantas.
- Kekurangan: Rangkaian produk lebih kecil berbanding beberapa platform dropship lain.
- Disyorkan untuk: Peniaga fesyen yang menyasarkan pasaran Amerika Syarikat.
- Aplikasi Shopify: Ya.
8. DropCommerce
DropCommerce menghubungkan kedai anda dengan lebih 400 pembekal di Amerika Syarikat dan Kanada, dengan fokus utama pada pasaran Amerika Utara.
Platform ini menawarkan margin peruncit minimum 30% pada semua produk serta ciri penjejakan pesanan dan pilihan invois berjenama. Apabila anda membuat jualan, butiran pesanan dihantar melalui aplikasi dan pembekal akan mengurus pembungkusan serta penghantaran terus kepada pelanggan.

- Harga: Pelan percuma tersedia dengan ciri premium pada peringkat lebih tinggi.
- Kelebihan: Pembekal berkualiti dengan produk pilihan terpilih, margin minimum 30% serta proses pemenuhan pesanan yang automatik.
- Kekurangan: Terhad kepada pembekal dan pasaran Amerika Utara, kurang sesuai untuk pelanggan di Malaysia kerana masa penghantaran antarabangsa.
- Disyorkan untuk: Peniaga yang menyasarkan pasaran Amerika Syarikat dan Kanada serta mahukan pembekal yang boleh dipercayai dengan kawalan kualiti lebih ketat.
- Aplikasi Shopify: Ya.
9. Wholesale Central
Berbeza dengan entri lain dalam senarai ini, Wholesale Central bukan aplikasi atau platform. Sebaliknya, Wholesale Central ialah direktori peniaga dropship, pembekal dan pemborong. Untuk pembeli dan pembekal, Wholesale Central menawarkan cara mudah untuk mencari rakan perniagaan berpotensi.
Di Wholesale Central, pemilik kedai boleh melayari produk dan pembekal atau membuat carian mengikut nama. Apabila pembekal yang sesuai ditemukan, maklumat hubungan disediakan.

Wholesale Central tidak menawarkan alat pengurusan inventori, namun kekal sebagai sumber percuma dan luas yang merangkumi banyak peniaga dropship dan pembekal yang boleh membekalkan produk untuk kedai anda.
- Harga: Percuma.
- Kelebihan: Cara berkos rendah untuk mencari pembekal yang terbuka untuk membina kerjasama secara terus dengan peruncit.
- Kekurangan: Tidak menyediakan alat pengurusan pesanan atau penyegerakan inventori dengan pembekal.
- Disyorkan untuk: Peniaga yang ingin bekerjasama terus dengan pemborong dan membina hubungan perniagaan yang lebih peribadi.
- Aplikasi Shopify: Tidak.
10. Worldwide Brands
Ditubuhkan pada 1999, Worldwide Brands merupakan salah satu direktori pembekal tertua dan paling dipercayai dalam kalangan peruncit berpengalaman. Peniaga dropship dalam Worldwide Brands perlu memenuhi garis panduan jaminan kualiti yang ditetapkan.
Seperti Wholesale Central, Worldwide Brands merupakan direktori pembekal dan peniaga dropship yang terbuka kepada peruncit baharu. Platform ini tidak menawarkan automasi, namun merangkumi lebih 16 juta pemborong bertauliah dengan rangkaian produk yang luas serta senarai khusus peniaga dropship bertauliah.
- Harga: Bayaran sekali sahaja.
- Kelebihan: Kriteria kemasukan yang ketat untuk memastikan senarai pembekal lebih dipercayai.
- Kekurangan: Tidak menyediakan alat automasi atau sistem pengurusan pesanan menyebabkan penyelarasan inventori lebih mencabar.
- Disyorkan untuk: Pemilik kedai yang mencari pembekal dipercayai untuk kerjasama jangka panjang.
- Aplikasi Shopify: Tidak.
11. AI Dropship
AI Dropship menghubungkan penjual dengan pembekal di Amerika Syarikat dan Eropah yang disahkan, dengan penghantaran yang lebih pantas untuk pasaran tertentu berbanding penghantaran antarabangsa biasa.
Platform ini melaraskan tahap inventori secara automatik bagi mengelakkan jualan berlebihan serta menyediakan pelan percuma yang membenarkan import sehingga 35 produk dengan pesanan tanpa had.
- Harga: Pelan percuma dengan sehingga 35 produk dan pesanan tanpa had.
- Kelebihan: Penghantaran lebih pantas untuk sesetengah pasaran, pembekal dari AS dan EU, pelan percuma yang agak luas serta sokongan pelanggan yang responsif.
- Kekurangan: Rangkaian pembekal lebih kecil berbanding platform dropship global lain.
- Disyorkan untuk: Peniaga dropship yang mengutamakan pembekal antarabangsa dengan masa pemenuhan lebih pantas berbanding purata dropship biasa.
- Aplikasi Shopify: Ya.
Laman web dropship lain yang patut dipertimbangkan
Doba
Doba ialah platform dropship yang menghubungkan pembekal, kebanyakannya berpusat di Amerika Syarikat dan China. Ciri utama platform ini ialah peraturan penetapan harga automatik yang membolehkan peniaga menetapkan harga markup berdasarkan harga borong tanpa perlu melakukan proses ini secara manual.
Platform ini sesuai untuk mengautomatikkan pengurusan harga. Namun begitu, kebanyakan pembekal berada di luar rantau Malaysia, jadi masa penghantaran bergantung pada lokasi pembekal dan destinasi pelanggan. Pelan bermula pada $29.99 (kira-kira RM120) sebulan selepas tempoh percubaan percuma. Terdapat juga aplikasi Shopify.
Wholesale2b
Wholesale2b menawarkan lebih sejuta produk daripada lebih 100 pembekal borong yang kebanyakannya berpusat di Amerika Syarikat dan Kanada.
Aplikasi Shopify Wholesale2b mengurus pesanan daripada kedai anda, menghantar pesanan kepada pembekal untuk dipenuhi serta menambah maklumat penjejakan selepas penghantaran dilakukan secara automatik. Platform ini juga mempunyai integrasi terbina dalam dengan Amazon dan eBay. Harga bermula pada $29.99 (kira-kira RM120) sebulan.
Bagaimana laman web dropship membantu kedai anda?
Memandangkan perniagaan dropship menyerahkan banyak aspek operasi kepada pihak ketiga, model ini menawarkan beberapa kelebihan:
Kos overhed yang rendah
Anda hanya perlu membayar produk selepas membuat jualan, jadi tiada risiko terikat dengan stok berlebihan.
Modal permulaan yang lebih rendah
Kos permulaan boleh dikekalkan pada tahap rendah kerana tiada keperluan untuk pengeluaran atau penyimpanan stok. Penjimatan ini membolehkan lebih banyak bajet diperuntukkan untuk perkara seperti iklan berbayar, sekali gus membantu mempercepatkan pertumbuhan perniagaan.
Fleksibiliti lokasi
Oleh sebab stok diuruskan oleh peniaga dropship, anda tidak perlu berada di lokasi tetap. Operasi boleh dijalankan dari rumah, kafe atau mana-mana lokasi dengan sambungan internet yang stabil.
Risiko lebih rendah semasa menguji produk baharu
Kebanyakan laman web dropship memaparkan produk popular, jadi anda boleh melihat produk yang sudah mempunyai permintaan pasaran sebelum membuat keputusan jualan.
Menjimatkan masa
Proses mendapatkan stok, pengurusan inventori dan penghantaran diuruskan oleh pihak ketiga. Cara ini membolehkan anda memberikan tumpuan kepada pemasaran dan pembangunan jenama.
Cara terbaik memulakan perniagaan dropship
Mari lihat langkah-langkah untuk memulakan kedai dropship:
1. Cari idea
Langkah pertama ialah menghasilkan idea produk. Dengan dropship, fokus utama ialah membina jenama berkaitan produk yang dipilih, jadi aspek visual dan identiti jenama sangat penting.
Kadangkala, peniaga dropship sendiri boleh menjadi sumber inspirasi. Anda boleh melayari produk yang ditawarkan dan melihat sama ada terdapat kombinasi produk atau niche yang masih kurang diterokai.
2. Lakukan penyelidikan pasaran
Selepas mempunyai idea, kenal pasti pesaing utama dan lakukan analisis persaingan. Hal ini merangkumi kajian terhadap strategi perniagaan, pasaran sasaran, penjenamaan, ciri produk, harga dan reka bentuk laman web.
Proses ini membantu menilai kekuatan dan kelemahan pesaing serta mengenal pasti peluang untuk membina kelebihan dalam jenama anda sendiri.
3. Cari pembekal dropship
Selepas penyelidikan pasaran selesai, langkah seterusnya ialah mencari pembekal yang menawarkan produk yang sesuai untuk membina jenama anda. Terdapat banyak pembekal yang boleh ditemukan melalui laman web yang disenaraikan dalam artikel ini, namun anda tidak perlu bergantung pada satu pembekal sahaja.
Direktori pembekal seperti Wholesale Central dan Worldwide Brands sesuai untuk mencari pembekal yang menawarkan produk tertentu. Direktori ini juga membantu anda mendapatkan idea dan mengenal pasti niche yang masih kurang diterokai.
Banyak platform dropship boleh disambungkan terus ke kedai Shopify, membolehkan anda menjual produk daripada pembekal bersama produk anda sendiri.
4. Bina kedai dalam talian anda
Selepas memilih pembekal, anda boleh mula membina kedai dalam talian. Penyelenggaraan kedai ialah satu proses berterusan, jadi penjenamaan dan rangkaian produk boleh berkembang berdasarkan prestasi jualan.
Lihat senarai semak pelancaran e-dagang ini untuk memastikan semua persediaan sudah lengkap sebelum hari pelancaran kedai anda.
5. Pasarkan kepada khalayak anda
Apabila kedai sudah aktif, fokus seterusnya ialah menarik trafik. Jika anda sudah mempunyai pengikut di media sosial atau komuniti dalam talian, anda boleh mengarahkan mereka ke kedai anda. Jika belum, anda perlu mula membina khalayak dari awal.
Cari komuniti dalam talian yang berkaitan dengan produk anda, sertai acara atau pameran industri dan gunakan bahan promosi seperti kad perniagaan. Anda juga boleh menggunakan pembuat kad perniagaan percuma untuk mencipta reka bentuk kad perniagaan tersuai.
Bangunkan strategi pemasaran media sosial untuk membina pengikut secara konsisten. Selain itu, sentiasa ikuti perkembangan dalam industri untuk mengenal pasti produk atau trend yang sedang meningkat.
Shopify memudahkan sambungan pada laman web dropship
Apabila anda memulakan kedai dropship di Shopify, anda boleh menyambungkan aplikasi dropship yang mengautomatikkan proses pesanan dan penghantaran kepada pelanggan.
Soalan Lazim Laman Web Dropship
Apakah laman web terbaik untuk dropship?
Laman web dropship terbaik termasuk Shopify Collective untuk menjual produk daripada jenama Shopify, DropCommerce untuk pembekal Amerika Utara, Syncee untuk capaian global dan AI Dropship untuk penghantaran lebih pantas bagi sesetengah pasaran antarabangsa. Pilihan popular lain termasuk DSers untuk integrasi AliExpress, Spocket untuk produk berjenama serta platform khusus seperti Trendsi untuk kategori fesyen.
Apakah laman web dropship yang paling murah?
Shopify Collective percuma untuk peniaga Shopify yang layak dan menawarkan produk berkualiti tinggi daripada jenama popular. Pilihan percuma lain termasuk DropCommerce, Syncee dan AI Dropship, kesemuanya menawarkan pelan percuma untuk memulakan perniagaan dropship tanpa kos awal.
Apakah produk dropship yang terbaik?
Kebanyakan pembekal dropship menyenaraikan produk terlaris pada platform masing-masing. Kejayaan sesuatu produk bergantung pada strategi pemasaran dan pelan perniagaan anda. Cadangan produk juga boleh ditemukan pada platform dan blog dropship.
Adakah perniagaan dropship menguntungkan?
Perniagaan dropship boleh menjadi sangat menguntungkan kerana kos overhed yang rendah. Anda tidak perlu membeli atau menyimpan inventori sebelum membuat juala, sekali gus membantu memaksimumkan keuntungan.
Bolehkah saya melakukan dropship daripada mana-mana laman web?
Tidak semua platform pembinaan laman web menyokong integrasi dropship. Laman yang dibina menggunakan Shopify membolehkan integrasi aplikasi dropship, menjadikan platform ini pilihan popular untuk perniagaan jenis ini.
Apakah manfaat dropship?
Perniagaan dropship menawarkan kos overhed yang rendah, fleksibiliti lokasi, lebih banyak masa untuk fokus pada perniagaan serta keupayaan menguji produk dengan lebih mudah berbanding model perniagaan lain. Anda hanya membeli stok selepas membuat jualan, sekali gus mengurangkan risiko kewangan.

