Salah satu cara popular untuk mencari pembekal perniagaan dropship terbaik bagi kedai dalam talian anda adalah dengan menggunakan direktori pembekal.
Direktori pembekal membolehkan anda menyemak imbas pelbagai produk perniagaan dropship pada satu tempat, sekali gus menjadi platform yang berguna untuk membandingkan pembekal dan mencari produk trending untuk dijual.
Berikut ialah senarai direktori pembekal perniagaan dropship dan aplikasi yang popular untuk diterokai bagi membantu anda mencari rakan kongsi yang sesuai bagi perniagaan dropship anda.
Pembekal dropshipping terbaik
- AliExpress
- Alibaba
- DSers
- CJDropshipping
- Shopify Collective
- Syncee
- AutoDS
- DropCommerce
- Worldwide Brands
- Zendrop
- Spocket
- Trendsi
- Megagoods
- Doba
- AI Dropship
Direktori dan aplikasi pembekal terakhir disemak pada November 2025.
Pembekal perniagaan dropship yang disyorkan (percuma atau pelan percuma)
Rangkaian pembekal ini menyediakan akses kepada pelbagai produk berkualiti tinggi daripada pembekal perniagaan dropship yang telah disahkan.
Satu perkara yang penting ialah semua pembekal dalam bahagian ini mempunyai gudang atau keupayaan untuk memenuhi pesanan di seluruh Asia dan peringkat global,, dengan sokongan penghantaran antarabangsa, membolehkan pelanggan di Malaysia menerima pesanan mereka secepat mungkin.
Direktori pembekal dalam bahagian ini juga percuma atau menawarkan pelan percuma, membolehkan anda meneroka platform sepenuhnya sebelum membuat langganan.
1. AliExpress

AliExpress ialah direktori pembekal antarabangsa yang menghubungkan peniaga dropship dengan ribuan pembekal. Kebanyakan pembekal AliExpress berpangkalan di China dan mendapatkan produk dari rantau tersebut.
Lokasi penghantaran
Pembekal AliExpress menghantar produk ke ratusan negara termasuk Malaysia. Bungkusan yang dihantar melalui penghantaran standard boleh mengambil masa antara 15 hingga 45 hari bekerja untuk tiba. Pilihan penghantaran premium pula dianggarkan mengambil masa antara tujuh hingga 15 hari bekerja.
Apabila perniagaan anda semakin berkembang, anda mungkin boleh mengurangkan masa penghantaran kepada pelanggan dengan menggunakan perkhidmatan pemenuhan pesanan untuk menghantar produk secara pukal dan menyimpan produk di gudang tempatan.
Pilihan produk
Terdapat lebih daripada 100 juta produk di AliExpress dalam pelbagai kategori seperti fesyen, mainan, barangan elektronik pengguna, penjagaan kulit, barang kemas, perabot dan alat ganti automotif.
Disyorkan untuk
Usahawan e-dagang baharu dan berpengalaman yang menjadi peniaga dropship dengan AliExpress. Gunakan platform ini untuk penyelidikan pasaran dan membina hubungan dengan pembekal.
Kelebihan dan kekurangan
- Pilihan pembekal dan produk yang sangat luas
- Masa penghantaran biasanya lebih lama
- Memerlukan pemilihan produk dan penilaian pembekal yang teliti
2. Alibaba

Alibaba ialah pasaran dalam talian perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang menghubungkan pembeli dan penjual. Platform ini direka untuk pembelian pukal daripada pengilang dan pembekal borong. Namun, ada sesetengah pembekal juga memenuhi pesanan secara dropship.
Lokasi penghantaran
Penghantaran dropship Alibaba boleh mengambil masa yang lama bergantung pada lokasi anda, dengan sesetengah penghantaran boleh mengambil masa sehingga enam minggu. Untuk mengurangkan kos, anda boleh memilih penghantaran melalui kargo laut atau udara. Pastikan anda menyemak terma penghantaran pembekal dan membuat perancangan yang sewajarnya.
Pilihan produk
Alibaba mempunyai lebih daripada 2.8 juta pembekal dan lebih 5,900 kategori produk.
Disyorkan untuk
Alibaba sesuai untuk peruncit yang menggunakan model perniagaan dropship serta kaedah penyumberan produk lain seperti pembuatan label peribadi.
Kelebihan dan kekurangan
- Pilihan pembekal dan produk yang luas, kebanyakannya dikilangkan di China
- Lebih tertumpu kepada pembeli secara borong
3. DSers

DSers ialah aplikasi perniagaan dropship yang menghubungkan kedai dalam talian dengan pembekal AliExpress.Ciri Supplier Optimizer membantu anda membandingkan pembekal berdasarkan faktor seperti harga borong dan sejarah prestasi, manakala ciri automatik memudahkan penambahan produk ke kedai anda dan pemprosesan berbilang pesanan.
Lokasi penghantaran
Lokasi dan tempoh penghantaran adalah sama seperti AliExpress bergantung kepada negara pembeli. DSers menyokong penghantaran ke ratusan negara termasuk Malaysia dengan tempoh penghantaran yang berbeza-beza antara 7 hingga 20 hari bekerja.
Pilihan produk
Melalui DSers, pengguna boleh mengakses katalog produk AliExpress yang luas beserta maklumat pembekal yang dipertingkat.
Disyorkan untuk
DSers disyorkan untuk pemilik kedai e-dagang yang mahukan cara yang lebih baik untuk membandingkan pembekal perniagaan dropship AliExpress dan memproses pesanan dengan lebih cekap.
Kelebihan dan kekurangan
- Maklumat lebih terperinci tentang pembekal AliExpress
- Ciri pemprosesan pesanan yang menjimatkan masa
- Bukan direktori pembekal yang berfungsi secara sendiri
4. CJDropshipping

CJDropshipping ialah satu daripada pilihan lain untuk menghubungkan kedai anda dengan AliExpress dan pasaran luar negara yang besar. Direktori pembekal mungkin menawarkan produk pada harga yang lebih rendah melalui sumber terus daripada laman seperti 1688 dan Taobao.
Lokasi penghantaran
CJDropshipping mempunyai rangkaian gudang global termasuk di China dan Asia Tenggara. Pilihan penghantaran ke Malaysia termasuk perkhidmatan kurier sendiri iaitu CJPacket untuk penghantaran pantas dari China sebelum diserahkan kepada kurier tempatan seperti J&T Express, PosLaju atau Ninja Van untuk serahan akhir kepada pelanggan.
Pilihan produk
Pasaran dalam talian 1688 dan Taobao menempatkan pereka bebas dan pemilik perniagaan kecil di China, merangkumi berjuta-juta senarai produk termasuk item yang sukar ditemukan dan produk maya.
Disyorkan untuk
CJDropshipping sesuai untuk peniaga dropship yang mencari penyelesaian tunggal untuk menghantar produk buatan China ke Malaysia.
Kelebihan dan kekurangan
- Pelbagai pilihan syarikat kurier utama
- Pembekal dan produk kebanyakannya berpangkalan di China
- Potensi masa penghantaran yang lebih lama
Pembekal dropship lain
Berikut ialah beberapa lagi aplikasi pembekal perniagaan dropship yang popular dalam kalangan pengguna Shopify. Lihat pelan harga, ciri, direktori pembekal dan ulasan daripada penjual lain. (Nota: Pembekal ini mungkin tidak menawarkan pelan perniagaan dropship percuma.)
5. Shopify Collective

Cari dan jual produk daripada jenama Shopify menggunakan Shopify Collective, rangkaian pembekal percuma untuk pengguna Shopify (tanpa yuran bulanan atau langganan tambahan).
Selepas menyemak imbas produk dan memilih item untuk dijual, Shopify Collective memudahkan anda menghubungi pembekal dan mengimport senarai produk ke kedai anda. Semasa pembayaran, Shopify Collective mengira kadar penghantaran dan menghalakan pesanan kepada pembekal untuk penghantaran kepada pelanggan.
Lokasi penghantaran
Produk daripada pembekal Shopify Collective dihantar ke seluruh dunia. Kadar dan destinasi penghantaran bergantung pada terma penghantaran pembekal masing-masing.
Pilihan produk
Cari ribuan produk dalam pelbagai kategori termasuk pakaian, produk kecantikan, barangan rumah, makanan dan minuman serta barangan elektronik. Lihat penerangan produk, harga dan penilaian serta maklumat pembekal dan penilaian purata berdasarkan ulasan yang disahkan. Anda juga boleh mendapatkan cadangan produk berdasarkan produk terlaris sedia ada di kedai anda.
Anda juga boleh melihat kos penghantaran produk dan margin keuntungan atas permintaan. Nilai ini berbeza mengikut pembekal tetapi biasanya antara 20% hingga 50%.
Disyorkan untuk
Shopify Collective sesuai untuk pengguna Shopify yang ingin menjadi peniaga dropship produk daripada jenama yang dipercayai. Langganan Shopify diperlukan dan tertakluk pada syarat kelayakan. Sesetengah ciri Shopify Collective hanya tersedia di wilayah tertentu.
Jika anda menyimpan inventori, anda juga boleh menggunakan Shopify Collective sebagai pembekal dan meluluskan peruncit untuk menjual item anda melalui kedai mereka.
Kelebihan dan kekurangan
- Produk berkualiti tinggi daripada jenama terkenal
- Percuma untuk digunakan
- Hanya untuk pengguna Shopify
6. Syncee

Syncee ialah aplikasi perniagaan dropship untuk menjual produk kepada pelanggan di seluruh dunia termasuk Malaysia, Asia, Australia, Eropah dan Amerika Utara dengan akses kepada rangkaian pembekal global dengan lebih daripada 12,000 jenama.
Tambah produk ke kedai anda dengan mudah menggunakan aplikasi ini untuk penyegerakan inventori dan pesanan secara automatik supaya anda boleh mula menjual tanpa perlu mengurus stok atau penghantaran.
Apabila anda menerima pesanan, Syncee menghantar butiran kepada pembekal anda yang akan mengendalikan pembungkusan dan penghantaran kepada pelanggan.
Ramai pembekal di Syncee juga merupakan pemborong. Hal ini bermakna anda boleh bermula dengan menjadi peniaga dropship terlebih dahulu untuk menguji populariti produk, kemudian beralih kepada perkongsian borong untuk mendapatkan margin keuntungan yang lebih tinggi apabila perniagaan anda berkembang.
Lokasi penghantaran
Kebanyakan pembekal dalam rangkaian Syncee menawarkan pilihan penghantaran tempatan dan antarabangsa.
Pilihan produk
Import sehingga 25 produk menggunakan pelan percuma dalam pelbagai kategori termasuk fesyen, rumah dan taman, kesihatan dan kecantikan, bekalan haiwan peliharaan serta barangan elektronik.
Disyorkan untuk
Menurut ulasan pengguna Shopify, Syncee sesuai untuk penjual yang ingin mengintegrasikan kedai mereka dengan pembekal antarabangsa. Penjual juga menghargai pasukan sokongan Syncee yang beroperasi 24/7.
Kelebihan dan kekurangan
- Rangkaian pembekal antarabangsa
- Senarai pemborong yang komprehensif
- Import 25 produk dengan pelan percuma
7. AutoDS

AutoDS ialah platform perniagaan dropship yang menggabungkan ciri unik seperti pencarian sumber produk, analisis pesaing dan pemenuhan pesanan. Platform ini direka untuk peniaga dropship baharu dan berpengalaman yang ingin mencari produk baharu untuk kedai mereka.
Lokasi penghantaran
AutoDS bekerjasama dengan pembekal yang mempunyai gudang di pelbagai negara termasuk AS, China, UK dan Australia. Kehadiran global ini membolehkan penjual menghantar produk kepada pelanggan di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk ke Malaysia.
Pilihan produk
Dengan bekerjasama dengan pembekal seperti Amazon, eBay dan AliExpress, AutoDS memberikan akses kepada katalog besar yang mengandungi lebih daripada 500 juta produk. Platform ini juga memaparkan pasaran dalam aplikasi yang membolehkan anda menemukan berjuta-juta produk popular yang dikemas kini setiap hari.
Disyorkan untuk
Pengulas AutoDS mengesyorkan aplikasi ini untuk alat penyelidikan dan penyumberan produk termasuk data produk terlaris secara masa nyata.
Kelebihan dan kekurangan
- Ciri AI untuk mendapatkan sumber produk
- Percubaan percuma selama 14 hari
- Tiada pelan percuma
8. DropCommerce

DropCommerce menghubungkan kedai anda dengan pembekal perniagaan dropship di AS dan Kanada.
Produk yang disenaraikan di aplikasi DropCommerce mempunyai margin peruncit minimum 30% dan dilengkapi dengan penjejakan pesanan serta pilihan invois berjenama untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan.
Sama seperti Shopify Collective dan Syncee, butiran pesanan dan pembayaran dihantar secara automatik kepada pembekal anda selepas anda membuat jualan. Pembekal membungkus dan menghantar pesanan terus kepada pelanggan mengikut masa dan destinasi penghantaran yang disenaraikan untuk setiap produk.
Lokasi penghantaran
Dengan lebih daripada 400 pembekal yang berpangkalan di AS dan Kanada, DropCommerce menyediakan penghantaran dalam masa tiga hingga lima hari dalam Amerika Utara. Kebanyakan pembekal juga menawarkan penghantaran antarabangsa termasuk ke Malaysia.
Pilihan produk
Temukan produk daripada jenama sebenar dalam pelbagai kategori termasuk barangan kesihatan dan kecantikan, pakaian, barang kemas dan aksesori elektronik. Import sehingga 25 produk ke kedai anda menggunakan pelan percuma.
Disyorkan untuk
Ulasan pengguna Shopify mengesyorkan DropCommerce kerana pilihan produk terpilih daripada pembekal Amerika Utara. Penjual juga menyatakan antara muka aplikasi ringkas dan mesra pengguna.
Kelebihan dan kekurangan
- Pilihan pembekal berpangkalan di Amerika Utara yang luas
- Import 25 produk dengan pelan percuma
- Percubaan percuma pelan premium selama 14 hari
9. Worldwide Brands

Ditubuhkan pada tahun 1999, Worldwide Brands ialah salah satu direktori pembekal yang terkenal. Pembekal yang disenaraikan melalui proses pengesahan untuk memastikan mereka sah dan boleh dipercayai. Gunakan Worldwide Brands untuk mencari pembekal baharu atau menjana idea produk untuk kedai anda.
Lokasi penghantaran
Worldwide Brands menyokong peruncit di seluruh dunia. Kos dan lokasi penghantaran bergantung pada pembekal dan pemborong dropship masing-masing.
Pilihan produk
Direktori ini mengandungi lebih daripada 16 juta produk borong yang diperakui daripada lebih 8,000 pembekal merangkumi pelbagai niche termasuk bekalan haiwan peliharaan, barang kemas dan jam tangan, barangan elektronik pengguna, hiasan rumah, pakaian dan banyak lagi. Pembekal baharu ditambah secara berkala.
Disyorkan untuk
Worldwide Brands sesuai untuk penjual yang mahukan akses seumur hidup kepada direktori pembekal borong konvensional. Akses ini memerlukan bayaran sekali sahaja.
Kelebihan dan kekurangan
- Semak imbas berjuta-juta produk borong dan perniagaan dropship
- Majoriti pembekal berpangkalan di AS
- Tiada integrasi platform e-dagang
10. Zendrop

Zendrop ialah aplikasi perniagaan dropship untuk kedai Shopify. Aplikasi ini menawarkan akses kepada lebih sejuta produk yang tersedia dengan sistem pemenuhan pesanan secara automatik. Berbeza dengan platform lain, Zendrop membenarkan anda membuat pesanan inventori secara pukal ke gudang Zendrop di AS, sekali gus mengurangkan masa penghantaran kepada kurang daripada lima hari. Bagi pasaran Malaysia, anda boleh menggunakan rangkaian pembekal global mereka yang menghantar terus dari Asia bagi memastikan kos dan masa penghantaran kekal kompetitif.
Gunakan Zendrop untuk menyesuaikan tawaran kedai anda. Tambah pembungkusan berjenama dan sisipan atau gabungkan produk menjadi bundle dan kotak langganan untuk meningkatkan nilai purata pesanan anda.
Lokasi penghantaran
Zendrop menyimpan produk di AS dan China dengan penghantaran ke seluruh dunia termasuk ke Malaysia.
Pilihan produk
Zendrop menawarkan kategori popular termasuk automotif, produk bayi, pakaian, barangan elektronik, produk kecantikan, barangan rumah, keperluan taman, produk haiwan peliharaan dan banyak lagi.
Disyorkan untuk
Menurut ulasan, Zendrop disyorkan untuk penjual yang ingin melakukan perniagaan dropship produk dengan sisipan berjenama sendiri dan ciri tersuai yang lain.
Kelebihan dan kekurangan
- Boleh gabungkan produk untuk mencipta senarai unik
- Satu langganan boleh digunakan untuk berbilang akaun
- Tiada pelan dropship percuma
11. Spocket

Spocket membolehkan penjual menyemak imbas lebih daripada tujuh juta produk daripada senarai pembekal dropship global. Gunakan aplikasi Spocket untuk menambah produk ke kedai anda dengan pantas dan menghantar pesanan pelanggan untuk pemprosesan yang lancar.
Lokasi penghantaran
Spocket mempunyai rangkaian pembekal global termasuk di AS, Eropah, Brazil dan India.
Pilihan produk
Spocket menawarkan lebih daripada tujuh juta produk berpangkalan di AS dan EU dalam kategori seperti pakaian, barang kemas, produk kecantikan dan aksesori teknologi.
Disyorkan untuk
Ulasan pengguna mengesyorkan Spocket untuk peniaga dropship antarabangsa yang ingin menjual produk daripada pembekal domestik bagi mengurangkan masa penghantaran. Ulasan pengguna turut menekankan ciri invois berjenama.
Kelebihan dan kekurangan
- Pembekal domestik di banyak negara
- Harga pelan yang lebih tinggi
- Percubaan percuma 7 hari
12. Trendsi: Platform terbaik untuk perniagaan dropship pakaian

Trendsi ialah platform perniagaan dropship dan borong percuma yang memfokuskan kepada pembekal produk fesyen. Katalog merangkumi pakaian dan aksesori wanita serta lelaki daripada rangkaian jenama AS dan pengilang antarabangsa. Anda boleh menemukan foto dan video profesional, carta saiz dan butiran varian untuk memperkaya halaman produk anda.
Lokasi penghantaran
Produk di Trendsi dihantar dari gudang AS dan beberapa gudang antarabangsa. Untuk produk yang dihantar dari AS kepada pelanggan yang menetap di AS, Trendsi menawarkan penghantaran dalam tempoh dua hingga lima hari bekerja dengan invois berjenama serta pemulangan percuma dalam tempoh tujuh hari. Jika anda ingin menghantar produk ke Malaysia, tempoh penghantaran akan mengambil masa yang jauh lebih lama (mencecah 2 hingga 3 minggu)
Pilihan produk
Katalog Trendsi mengandungi lebih daripada 100,000 produk pakaian termasuk kategori seperti kasut, beg, seluar jeans, pakaian santai dan senarai item "disahkan TikTok".
Disyorkan untuk
Menurut ulasan Trendsi, pengguna menghargai katalog aplikasi ini yang pelbagai, masa penghantaran yang pantas, dan pilihan penjenamaan tersuai seperti label jahitan khas.
Kelebihan dan kekurangan
- Boleh digunakan secara percuma
- Pemulangan percuma
- Pilihan borong dan label peribadi
13. Megagoods: Platform terbaik untuk perniagaan dropship barangan elektronik

Megagoods ialah pembekal yang tertumpu pada barangan elektronik pengguna. Platform ini mengenakan yuran sebanyak USD 1.50 (atau kira-kira RM 5.90) setiap pesanan tanpa keperluan pembelian minimum, membolehkan perniagaan dropship yang cekap kepada pelanggan anda.
Lokasi penghantaran
Megagoods berpangkalan di California dan menghantar ke seluruh AS. Buat masa ini, mereka tidak menyediakan servis penghantaran antarabangsa ke Malaysia, menjadikan platform ini tidak sesuai untuk peniaga tempatan yang ingin menjual kepada pembeli domestik.
Pilihan produk
Platform ini menawarkan lebih daripada 3,000 produk elektronik pengguna, termasuk aksesori Bluetooth, peralatan audio, televisyen, peralatan dapur dan alat pejabat.
Disyorkan untuk
Megagoods sesuai untuk perniagaan yang menyasarkan produk elektronik dan pasaran AS. Jika anda peniaga dropship di Malaysia, anda masih boleh menggunakan platform ini dengan syarat anda menyasarkan pelanggan di pasaran AS.
Kelebihan dan kekurangan
- Fokus penghantaran dalam AS
- Tiada integrasi e-dagang
- Pilihan produk yang lebih kecil
14. Doba

Doba berintegrasi dengan lebih daripada 160 pembekal perniagaan dropship, membolehkan penjual membuat pelbagai pesanan melalui antara muka berpusat. Keahlian termasuk alat Push-to-Marketplace yang mengautomatikkan proses penyenaraian item di eBay.
Sistem berpusat Doba lebih mudah berbanding sesetengah laman web perniagaan dropship lain, tetapi tiada pelan percuma. Ciri perniagaan dropship bermula pada USD 29.99 (sekitar RM119) sebulan.
Lokasi penghantaran
Doba melakukan penghantaran ke seluruh dunia. Kadar bergantung pada pemborong perniagaan dropship masing-masing.
Pilihan produk
Terdapat lebih daripada dua juta produk tersedia dalam pelbagai kategori.
Disyorkan untuk
Ulasan pengguna Doba menyatakan integrasi Shopify yang boleh dipercayai, manakala dasar penghantaran yang jelas membantu menyediakan maklumat yang boleh dipercayai kepada pelanggan.
Kelebihan dan kekurangan
- Pencari produk dikuasakan AI
- Percubaan percuma 14 hari
- Tiada pelan percuma
15. AI Dropship

AI Dropship membolehkan penjual menyemak imbas produk daripada pembekal perniagaan dropship yang disahkan di AS dan EU. Gunakan pelan percuma untuk menambah produk ke kedai anda dan menghantar pesanan pelanggan untuk pemprosesan dan penghantaran.
Sama seperti aplikasi lain di atas, AI Dropship melaraskan tahap inventori produk secara automatik bagi mengurangkan risiko menerima pesanan untuk produk yang kehabisan stok.
Lokasi penghantaran
Penghantaran ke Malaysia mungkin mengambil masa lebih lama (antara 14 hingga 21 hari bekerja) kerana kebanyakan pembekal AI Dropship berpangkalan di AS dan Eropah.
Pilihan produk
Kategori produk yang tersedia melalui AI Dropship termasuk pakaian, barang kemas, produk kecantikan, aksesori teknologi dan produk haiwan peliharaan. Import sehingga 35 produk menggunakan pelan percuma dengan pesanan tanpa had.
Disyorkan untuk
AI Dropship disyorkan untuk peniaga dropship di Malaysia yang ingin menyasarkan pasaran barat kerana boleh menggunakan pembekal domestik di AS dan Eropah bagi mengurangkan masa penghantaran kepada pelanggan di sana.
Kelebihan dan kekurangan
- Rangkaian pembekal di AS dan Eropah
- Import 35 produk dengan pelan percuma yang menyeluruh
Direktori pembekal tradisional
Sesetengah penjual lebih suka menggunakan katalog pembekal tradisional berbanding mengintegrasikan aplikasi pembekal dengan kedai mereka. Direktori ini membolehkan anda mencari pembekal secara manual mengikut kategori produk atau lokasi penghantaran.
Cara memilih pembekal perniagaan dropship yang tepat
Semasa anda mencari pembekal perniagaan dropship, anda mungkin menemukan syarikat yang menawarkan harga borong terlalu rendah atau janji penghantaran yang terlalu baik untuk dipercayai.
Tip perniagaan dropship: Jangan mudah percaya dengan tawaran yang terlalu baik.
Perhatikan tanda amaran yang berikut untuk membantu anda memilih pembekal yang sesuai untuk memulakan perniagaan dropship anda.
Yuran langganan pembekal
Direktori dan aplikasi pembekal sering mengenakan yuran langganan untuk akses kepada senarai pembekal yang telah disahkan, maklumat pembekal yang dipertingkat dan ciri perniagaan dropship automatik.
Walaupun yuran direktori merupakan perkara biasa, pembekal individu tidak sepatutnya mengenakan yuran berterusan untuk bekerjasama dengan anda. Kebiasaannya, pembekal mungkin mengenakan yuran pemprosesan kecil bagi setiap pesanan.
Apabila anda berurusan dengan pembekal antarabangsa, anda juga perlu mengambil kira tarif dan duti import kerana kos ini akan mempengaruhi strategi penetapan harga anda.
"Harga borong" yang ditawarkan kepada pengguna
Vendor yang menjual produk kepada peruncit dan orang awam pada "harga borong" berkemungkinan besar tidak menawarkan nilai terbaik untuk peniaga dropship.
Cari pembekal yang berurusan secara eksklusif dengan peruncit dan dapatkan produk pada harga yang lebih rendah supaya anda boleh meningkatkan margin keuntungan anda.
Kuantiti pesanan minimum
Berhati-hati apabila berurusan dengan pembekal yang menuntut kuantiti pesanan minimum (MOQ). Keperluan ini boleh bercanggah dengan model perniagaan dropship yang direka untuk mengelakkan penyimpanan inventori.
Jika anda memutuskan untuk bekerja dengan pembekal yang menetapkan keperluan pesanan minimum, satu penyelesaian terbaik ialah merundingkan kredit prabayar untuk pesanan dropship pada masa hadapan.
Cara mencari pembekal dropship
Cuba kaedah yang berikut untuk mengembangkan rangkaian pembekal kedai anda:
Hubungi pengilang
Jika anda tahu produk yang ingin dijual secara dropship, hubungi pengilang dan minta senarai pemborong. Hubungi pemborong ini untuk mengetahui sama ada mereka boleh menampung pemenuhan pesanan dropship anda.
Kebanyakan pembekal perniagaan dropship menawarkan produk daripada pelbagai pengilang, jadi strategi ini boleh membantu anda mendapatkan pilihan produk dalam niche anda dengan cepat. Selepas beberapa panggilan, anda akan dapat mengenal pasti pembekal perniagaan dropship utama dalam pasaran anda.
Cari melalui Google
Penggunaan Google untuk mencari pemborong perniagaan dropship berkualiti tinggi mungkin nampak mudah tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira:
- Cari secara menyeluruh. Pemborong biasanya tidak melabur dalam pemasaran, jadi anda mungkin perlu meneliti banyak hasil carian untuk menemukan laman web pemborong yang sesuai.
- Jangan menilai pemborong berdasarkan laman web mereka. Pemborong biasanya tidak mempunyai insentif yang tinggi untuk membina laman web yang berfokus kepada pelanggan akhir. Ramai pemborong yang sah mempunyai laman web yang asas, jadi jangan menolak sesebuah syarikat hanya kerana pengalaman pengguna yang kurang menarik.
- Gunakan pengubah suai kata kunci. Selain carian asas seperti "[produk] pemborong," cuba gunakan pengubah suai seperti "pengedar," "penjual semula," "pukal," "gudang," dan "pembekal."
Buat pesanan daripada pesaing
Cari pesaing yang anda merasakan turut menggunakan model perniagaan dropship dan buat pesanan kecil daripada mereka. Apabila anda menerima bungkusan, cari alamat pemulangan di Google untuk mengetahui pengirim asal.
Hadiri pameran perdagangan
Acara pameran perdagangan diadakan untuk menghubungkan peruncit dengan pengilang dan pemborong dalam sesuatu niche. Acara sebegini merupakan cara yang baik untuk menjalin hubungan, mengkaji produk dan mencari pembekal.
Kos untuk menghadiri pameran perdagangan atau persidangan mungkin tidak mampu ditanggung oleh semua orang. Namun, jika anda mempunyai masa dan wang untuk hadir, peluang ini membuka ruang untuk anda berjumpa secara bersemuka dan mengetahui lebih lanjut tentang pembekal dalam pasaran anda.
Mulakan perniagaan dropship hari ini
Sama ada anda pemilik perniagaan e-dagang baharu atau peniaga dropship profesional, mendapatkan pembekal perniagaan dropship yang boleh dipercayai ialah kunci kepada keuntungan.
Setelah anda menemukan pembekal yang tepat, sediakan kedai dropship anda dengan Shopify.
Sama ada penjual baharu atau peruncit global, Shopify sesuai untuk semua. Lihat pelan dan harga.
Soalan lazim pembekal perniagaan dropship
Apakah itu perniagaan dropship?
Perniagaan dropship ialah model peruncitan yang merujuk kepada kedai dalam talian yang tidak menyimpan stok produk. Sebaliknya, apabila pesanan dibuat, kedai menghantar butiran pesanan dan pembayaran kepada pembekal perniagaan dropship yang kemudian menghantar produk terus kepada pelanggan. Ramai pemilik perniagaan memilih perniagaan dropship kerana model ini menyerahkan pengurusan inventori dan pemenuhan pesanan kepada pihak lain. Walau bagaimanapun, memilih pembekal perniagaan dropship yang boleh dipercayai adalah penting kerana prestasi mereka memberikan kesan langsung kepada pengalaman pelanggan.
Bagaimanakah cara mencari pembekal perniagaan dropship?
Anda boleh mencari pembekal perniagaan dropship melalui direktori pembekal, meminta cadangan daripada peniaga dropship yang lain atau menghubungi pengilang produk yang ingin anda jual.
Apakah syarikat pembekal perniagaan dropship terbaik pada tahun 2026?
Senarai pembekal perniagaan dropship terbaik boleh ditemukan dalam direktori dan aplikasi pembekal. Direktori pembekal yang popular termasuk Shopify Collective, Syncee dan Worldwide Brands.
Adakah model perniagaan dropship sah di Malaysia?
Perniagaan dropship adalah sah di Malaysia dan merupakan kaedah pemenuhan pesanan yang diiktiraf. Pastikan anda menyemak terma dan syarat pembekal yang anda pilih untuk bekerjasama.
Bagaimanakah cara berunding dengan pembekal perniagaan dropship?
Untuk berunding dengan pembekal perniagaan dropship, fokuskan pada manfaat perkongsian anda dengan menonjolkan jangkaan jumlah pesanan dan prestasi terdahulu.
Kongsikan data seperti trafik laman web, kadar penukaran dan unjuran jualan untuk menunjukkan nilai anda. Sebagai balasan, anda boleh meminta harga keutamaan, akses kepada produk eksklusif atau struktur komisen yang lebih baik. Anda juga boleh meminta diskaun penghantaran atau akses kepada pilihan penghantaran premium.
Adakah perniagaan dropship masih menguntungkan pada tahun 2026?
Perniagaan dropship masih merupakan antara peluang perniagaan yang berdaya maju pada tahun 2026. Model perniagaan ini menguntungkan kerana menghapuskan keperluan untuk melabur dalam inventori atau membayar kos penyimpanan.
Platform manakah yang terbaik untuk perniagaan dropship?
Sambungkan aplikasi dropship ke kedai Shopify untuk persediaan perniagaan dropship yang lancar. Gunakan aplikasi dropship Shopify untuk mencari pembekal, menambahkan produk ke kedai anda dan mengautomatikkan pemprosesan pesanan.
Apakah syarikat pemborong dropship terbaik?
Syarikat pemborong dropship terbaik termasuk Shopify Collective, Syncee, DropCommerce dan AI Dropship.

