Pengiklanan di Facebook, WhatsApp dan Instagram menawarkan potensi besar untuk menjangkau pelanggan kerana setiap platform mempunyai kira-kira tiga bilion pengguna aktif setiap bulan, menurut Statista.
Namun, persaingan untuk menarik perhatian pengguna semakin sengit. Menurut laporan State of Marketing 2026 oleh Hubspot, 70% syarikat secara keseluruhan serta 77% hingga 78% perusahaan kecil dan sederhana menggunakan Facebook dan Instagram sebagai saluran pemasaran.
Perpustakaan Iklan Meta ialah alat penyelidikan percuma yang membolehkan anda mencari semua iklan aktif yang disiarkan merentas teknologi Meta. Teruskan membaca untuk mengetahui sembilan cara menggunakan Perpustakaan Iklan Meta bagi membina strategi pengiklanan berbayar yang lebih berkesan.
Apakah Perpustakaan Iklan Meta?
Perpustakaan Iklan Meta ialah pangkalan data digital yang mengandungi maklumat tentang iklan yang sedang disiarkan di Facebook, Instagram, WhatsApp, Threads, Messenger dan laman web yang bekerjasama dengan Meta melalui Rangkaian Khalayak. Semua iklan yang masih aktif boleh dicari dalam Perpustakaan Iklan Meta.
Perniagaan juga boleh menggunakan Perpustakaan Iklan Meta untuk mengkaji iklan syarikat lain dan memanfaatkan maklumat yang diperoleh bagi menambah baik strategi pengiklanan sendiri.
Meta melancarkan alat yang ketika itu dikenali sebagai Perpustakaan Iklan Facebook pada tahun 2018 selepas menerima kritikan berhubung ketelusan iklan politik pada platform Meta. Walaupun Perpustakaan Iklan Meta hanya memaparkan iklan bukan politik yang masih aktif, alat ini menyimpan maklumat tentang iklan berkaitan isu sosial, pilihan raya dan politik selama tujuh tahun. Maklumat tersebut merangkumi perbelanjaan iklan, capaian serta pihak yang membayar iklan.
Satu lagi alat, Laporan Perpustakaan Iklan Meta, memaparkan pecahan perbelanjaan bagi iklan politik sepanjang tujuh tahun yang lalu.
Jika iklan menyasarkan pengguna di Kesatuan Eropah (EU) atau wilayah berkaitan, Meta turut memaparkan maklumat tambahan seperti pihak yang membayar iklan tersebut, walaupun pihak itu mungkin berbeza daripada pengiklan. Maklumat tersebut kekal dalam Perpustakaan Iklan Meta selama setahun selepas iklan kali terakhir dipaparkan kepada pengguna. Di Malaysia pula, walaupun tiada keperluan khusus yang setara dengan peraturan di EU berhubung paparan maklumat tambahan dalam Perpustakaan Iklan Meta, kandungan pengiklanan dan kandungan digital tetap tertakluk kepada garis panduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), termasuk Malaysian Communications and Multimedia Content Code (CMCC), mengikut jenis kandungan yang diterbitkan.
Meta turut menyediakan API Perpustakaan Iklan untuk pengguna yang mempunyai pengetahuan pengaturcaraan dan ingin menjalankan analisis yang lebih mendalam terhadap iklan politik atau iklan yang disiarkan di Kesatuan Eropah (EU) atau United Kingdom (UK). Sebagai contoh, penjual Shopify di Malaysia yang menyasarkan pelanggan di EU atau UK boleh menggunakan API ini untuk mengkaji iklan yang disiarkan di pasaran tersebut. Langkah ini membantu mereka memahami keperluan ketelusan dan pematuhan yang berkuat kuasa di pasaran berkenaan.
Cara mengakses Perpustakaan Iklan Meta
Layari facebook.com/ads/library atau cari Perpustakaan Iklan Meta melalui pelayar web anda. Anda tidak perlu log masuk ke akaun Facebook untuk menggunakan fungsi carian asas dan Perpustakaan Iklan Meta boleh digunakan secara percuma.
Berikut ialah cara untuk mula mencari iklan:
1. Pilih negara daripada menu juntai bawah.
2. Pilih kategori iklan. Untuk mencari iklan bagi kebanyakan produk pengguna, pilih Semua iklan.
3. Masukkan kata kunci atau nama pengiklan dalam bar carian.
4. Perincikan carian dengan menapis mengikut bahasa, pengiklan, platform, jenis media, status aktif dan tarikh tayangan.
Selepas menemukan iklan yang ingin dianalisis, pilih Lihat Butiran Iklan untuk melihat maklumat lanjut. Anda boleh membaca keseluruhan teks iklan, menonton video iklan dan melawat halaman pendaratan yang dipautkan pada iklan tersebut. Selain itu, anda juga boleh menggunakan halaman carian Kandungan Berjenama dalam Perpustakaan Iklan Meta untuk melihat kandungan tajaan daripada pencipta kandungan.
Kegunaan Perpustakaan Iklan Meta dalam Penyelidikan Iklan
Perpustakaan Iklan Meta membantu pemasar menganalisis trend pengiklanan serta mengkaji iklan pesaing di platform Meta. Gunakan Perpustakaan Iklan Meta untuk:
- Mendapatkan inspirasi daripada iklan sebenar untuk iklan Instagram dan strategi iklan Facebook anda
- Menganalisis kempen iklan Meta yang dijalankan oleh pesaing
- Menilai idea baharu dengan menyemak sama ada iklan serupa sudah wujud, kemudian mengenal pasti cara untuk menambah baik iklan tersebut
- Mengenal pasti mesej pemasaran yang popular di pelbagai platform media sosial
- Mencari iklan berdasarkan kata kunci dan frasa kata kunci yang berkaitan dengan jenama anda
- Mencari kandungan berjenama untuk memahami cara jenama memanfaatkan kerjasama berbayar
Jika anda menjual di Facebook atau Instagram, mengkaji iklan jenama lain dapat membantu anda memahami strategi yang digunakan untuk meningkatkan kesedaran jenama dan menarik lebih banyak trafik ke laman web. Anda kemudian boleh mengadaptasikan strategi yang sesuai dalam kempen iklan Meta sendiri.
Jika anda menggunakan Shopify, anda boleh mula mencipta iklan Meta dengan lebih mudah melalui aplikasi Facebook & Instagram yang dipasang pada kedai dalam talian anda.
Anda boleh mencipta iklan Meta melalui Pengurus Iklan Meta, yang tersedia secara automatik apabila anda mencipta halaman Facebook untuk perniagaan.
Salah satu cara untuk memanfaatkan maklumat yang anda peroleh ialah dengan menjalankan iklan penyasaran semula. Anda boleh menjalankan iklan penyasaran semula dengan menambah piksel Meta pada kedai Shopify. Kod ini membolehkan anda memaparkan iklan kepada pelanggan berdasarkan produk yang pernah mereka lihat tetapi belum beli.
9 cara menggunakan Perpustakaan Iklan Meta
- Lihat lebih banyak iklan daripada pengiklan yang sama
- Cari kata kunci yang berkaitan dengan perniagaan anda
- Kaji iklan pesaing anda
- Tapis iklan mengikut negara
- Lihat tempoh sesuatu iklan disiarkan
- Lihat platform iklan disiarkan
- Lihat iklan mengikut jenis media
- Analisis kerjasama jenama
- Dapatkan inspirasi kreatif
Berikut ialah sembilan cara menggunakan Perpustakaan Iklan Meta untuk membantu perniagaan anda memperoleh pandangan strategik dan mendapatkan inspirasi kreatif.
1. Lihat lebih banyak iklan daripada pengiklan yang sama
Jika anda sedang melayari Facebook atau Instagram dan menemukan iklan yang menarik perhatian, gunakan Perpustakaan Iklan Meta untuk melihat iklan lain yang disiarkan oleh pengiklan yang sama. Cara ini membantu anda mendapatkan inspirasi daripada jenama yang menghasilkan kandungan kreatif yang menarik.
Untuk melihat lebih banyak iklan daripada jenama yang sama, buka Perpustakaan Iklan Meta dan pilih negara (atau pilih Semua untuk melihat iklan jenama tersebut di seluruh dunia). Kemudian, pilih “Semua iklan.” Seterusnya, masukkan nama jenama dalam bar carian. Senarai profil yang sepadan akan dipaparkan. Pilih profil yang dikehendaki untuk melihat iklan yang disiarkan oleh jenama tersebut.
Berikut ialah halaman Perpustakaan Iklan Meta bagi jenama kosmetik Rare Beauty:
2. Cari kata kunci yang berkaitan dengan perniagaan anda
Jika anda ingin melihat iklan Meta yang berkaitan dengan perniagaan anda, cari kata kunci yang berkaitan dengan industri atau produk dalam Perpustakaan Iklan Meta. Cara ini membantu anda memahami trend semasa daripada segi kandungan kreatif dan mesej pemasaran, sekali gus mengenal pasti trend dalam pasaran.
Sebagai contoh, jenama makanan vegan mungkin mencari “sos vegan” serta kata kunci lain yang berkaitan dengan produk yang dijual, seperti “vegan tzatziki” atau “vegan mozarela.”
Penyelidikan kata kunci, yang merupakan sebahagian daripada pengoptimuman enjin carian (SEO), dapat membantu anda mengenal pasti frasa carian yang paling relevan untuk digunakan dalam Perpustakaan Iklan Meta.
3. Kaji iklan pesaing anda
Gunakan Perpustakaan Iklan Meta untuk menjalankan analisis persaingan terhadap strategi pengiklanan jenama pesaing.
Semasa mengkaji iklan syarikat lain, perhatikan corak yang berulang dan kenal pasti iklan yang berkemungkinan menunjukkan prestasi yang baik. Jika sesebuah syarikat menggunakan imej dan teks yang serupa dalam pelbagai iklan, hal ini mungkin menunjukkan bahawa kandungan kreatif tersebut berkesan.
Anda juga boleh mengenal pasti corak berdasarkan jenis iklan yang digunakan, seperti video atau info grafik, kemudian mencuba pendekatan yang sama untuk perniagaan sendiri. Sebagai contoh, ZUS Coffee menggunakan iklan imej tunggal untuk mempromosikan produk, tawaran istimewa serta kempen pemasaran.
Untuk melihat iklan Meta pesaing, masukkan nama jenama dalam bar carian Perpustakaan Iklan Meta, kemudian pilih profil yang sepadan daripada senarai juntai bawah. Semua iklan Meta yang sedang disiarkan oleh jenama tersebut akan dipaparkan.
Anda juga boleh mengakses halaman Perpustakaan Iklan Meta bagi sesuatu jenama melalui Facebook dengan melihat Ketelusan Halaman, yang memaparkan maklumat tentang sejarah halaman tersebut. Maklumat ini termasuk tarikh halaman dicipta serta sejarah pertukaran nama, jika ada.
Meta menambah ciri Ketelusan Halaman untuk meningkatkan akauntabiliti pemilik halaman dan memberikan lebih ketelusan tentang sejarah sesuatu halaman di platform tersebut.
Untuk melihat maklumat ini di Facebook, buka profil jenama berkenaan, kemudian pilih nama halaman. Seterusnya, pilih Ketelusan dan Dasar Privasi pada tetingkap timbul.
4. Tapis iklan mengikut negara
Jika anda menjual ke pasaran antarabangsa, anda mungkin menjalankan kempen iklan yang berbeza mengikut negara sasaran. Dengan melihat iklan yang disiarkan di negara tersebut, anda boleh memahami cara pesaing menyesuaikan strategi pengiklanan untuk setiap negara.
Untuk melihat iklan di negara tertentu, buka menu juntai bawah yang memaparkan senarai negara. Anda boleh menatal senarai tersebut atau menaip nama negara dalam kotak carian.
Jika anda ingin mengkaji pesaing tertentu, cari nama syarikat berkenaan terlebih dahulu, kemudian tapis hasil carian mengikut negara.
5. Lihat tempoh sesuatu iklan disiarkan
Meneliti tempoh sesuatu iklan disiarkan dapat membantu anda menganggarkan keberkesanan iklan yang berbeza. Sebagai contoh, jika sesebuah jenama menyiarkan iklan yang sama untuk tempoh yang lama, hal ini mungkin menunjukkan bahawa iklan tersebut berprestasi dengan baik.
Untuk menapis mengikut tarikh, cari nama jenama dalam Perpustakaan Iklan Meta, pilih Penapis, kemudian tatal ke bahagian bawah tetingkap timbul. Di bawah “Tayangan mengikut Tarikh,” pilih satu tarikh atau julat tarikh untuk melihat iklan yang disiarkan dalam tempoh tersebut. Anda boleh melihat rekod sehingga tujuh tahun yang lalu.
6. Lihat platform iklan disiarkan
Anda boleh menapis carian mengikut platform untuk melihat tempat iklan disiarkan, sama ada di Facebook, Instagram, Messenger, WhatsApp, Threads atau Rangkaian Khalayak. Jika anda menjalankan carian umum, platform yang digunakan untuk menyiarkan iklan boleh dikenal pasti melalui ikon di sebelah Platform dalam bahagian butiran iklan bagi setiap hasil carian.
Gunakan maklumat ini untuk menentukan platform yang paling sesuai bagi menyiarkan iklan anda.
Sebagai contoh, anda mungkin mendapati jenama saingan menyiarkan iklan di WhatsApp lalu memutuskan untuk menggunakan platform tersebut bagi kekal berdaya saing. Atau anda mungkin mendapati tiada pesaing menggunakan iklan di Messenger, lalu mencuba penempatan iklan tersebut untuk menjangkau khalayak baharu yang berpotensi.
Di sini anda dapat melihat ChristyNg.com menyiarkan iklan di Facebook, Instagram, Rangkaian Khalayak dan Messenger.
7. Lihat iklan mengikut jenis media
Anda boleh menyiarkan pelbagai jenis iklan di Facebook dan Instagram, seperti iklan video, karusel dan imej statik. Jika anda ingin melihat cara sesuatu jenama menggunakan jenis iklan tertentu atau membandingkan cara pelbagai jenama menggunakan jenis media yang berbeza untuk kata kunci tertentu, anda boleh menapis carian mengikut jenis media.
Masukkan istilah carian, klik Penapis, kemudian pilih jenis media yang dikehendaki daripada menu juntai bawah Jenis Media.
Gunakan ciri ini untuk mendapatkan inspirasi tentang cara mempersembahkan produk dalam pelbagai format iklan. Sebagai contoh, anda boleh meneliti iklan imej untuk melihat cara jenama lain memaparkan produk tunggal atau rangkaian produk.
8. Analisis kerjasama jenama
Anda boleh menggunakan Perpustakaan Iklan Meta untuk mencari kandungan tajaan daripada pencipta kandungan media sosial. Cara ini membantu anda memahami strategi pemasaran melalui pempengaruh yang digunakan oleh pesaing serta mengenal pasti pencipta kandungan yang sesuai untuk bekerjasama dengan jenama anda.
Pada halaman utama Perpustakaan Iklan Meta, pilih Kandungan Berjenama di penjuru kanan atas. Kemudian, cari mengikut nama syarikat atau pencipta kandungan dan pilih sama ada siaran Facebook berjenama atau siaran Instagram berjenama.
Hasil carian akan memaparkan label perkongsian berbayar Meta. Meta mewajibkan pempengaruh dan ahli afiliasi menyertakan label ini pada siaran tajaan mereka.
9. Cari inspirasi kreatif
Anda boleh mencari jenama pesaing untuk melihat imej dan penulisan iklan yang digunakan oleh pemain industri lain. Anda juga boleh merujuk jenama yang mempunyai strategi pengiklanan dan penjenamaan yang anda kagumi, walaupun jenama tersebut berada di luar industri anda.
Berikut ialah contoh iklan daripada jenama minyak zaitun Graza. Jenama ini menggunakan slogan ringkas, “Mayones yang dibuat hanya daripada bahan-bahan terbaik,” serta foto tiga botol picit untuk mempamerkan rangkaian mayones berasaskan minyak zaitun. Gabungan warna kuning dan hijau yang terang menjadikan iklan tersebut lebih menyerlah.
Kapsyen iklan menggunakan bahasa santai (“Mayones mengandungi kira-kira 65% minyak. Sebab itulah anda perlu menggunakan bahan-bahan terbaik!”) bagi menonjolkan personaliti jenama Graza yang mesra dan mudah didekati.
Soalan lazim Perpustakaan Iklan Meta
Bagaimanakah saya boleh mengakses Perpustakaan Iklan Meta?
Anda boleh mengakses Perpustakaan Iklan Meta melalui salah satu daripada dua cara berikut:
- Layari facebook.com/ads/library
- Tatal ke bahagian Ketelusan Halaman pada mana-mana halaman Facebook, kemudian pilih Lihat Semua > Pergi ke Perpustakaan Iklan
Adakah Perpustakaan Iklan Meta memaparkan semua iklan?
Tidak, Perpustakaan Iklan Meta tidak memaparkan semua iklan. Perpustakaan Iklan Meta hanya memaparkan iklan yang disiarkan melalui platform Iklan Meta. Platform ini tidak merangkumi iklan yang tidak lagi aktif atau iklan dari platform lain, seperti platform Iklan Google. Iklan berkaitan isu sosiopolitik, pilihan raya atau politik kekal dipaparkan dalam Perpustakaan Iklan Meta selama tujuh tahun, walaupun tidak lagi aktif. Iklan bukan politik pula hanya dipaparkan sepanjang tempoh iklan tersebut disiarkan.
Adakah Perpustakaan Iklan Meta tepat?
Ya. Menurut Meta, Perpustakaan Iklan mengandungi “semua iklan yang sedang disiarkan merentas teknologi Meta,” termasuk Facebook, Instagram, Messenger, Threads dan Rangkaian Khalayak. Oleh itu, Perpustakaan Iklan Meta merupakan alat yang boleh dipercayai untuk mencari iklan pesaing serta mengkaji trend pengiklanan dalam masa nyata.
Adakah RM84 sehari mencukupi untuk iklan Facebook?
Ya, belanjawan sekitar RM84 sehari boleh mencukupi untuk menjalankan iklan Facebook. Pengiklan membida untuk menyiarkan iklan, manakala platform Iklan Meta membolehkan anda menetapkan had perbelanjaan supaya kekal dalam belanjawan yang ditetapkan. Secara purata, kos iklan Facebook ialah sekitar RM3.65 bagi setiap klik dan RM67.45 bagi setiap 1,000 impresi.

