Jika anda pernah berhasrat agar ada bola kristal yang boleh memberitahu anda produk popular pada masa ini yang patut disimpan di kedai anda, ada berita baik untuk anda. Produk Google Trends ialah pilihan yang paling hampir untuk tujuan itu. Malah Google mampu meramal masa depan perdagangan runcit sehingga tiga suku tahun lebih awal.
Penyelidikan baharu oleh K. Ramesh dan Gary Lind menganalisis corak carian Google bagi hampir 200 peruncit awam di AS yang tersenarai di bursa saham antara tahun 2004 hingga 2019. Apabila jumlah carian meningkat, hasil jualan turut meningkat—selalunya jauh lebih awal sebelum penganalisis atau pelabur menyedarinya.
Malah, strategi pelaburan yang dibina berdasarkan trend carian mengatasi model konvensional sebanyak 2% hingga 3%. Ini ialah berita besar untuk peruncit seperti anda juga. Google Trends ialah alat ramalan percuma yang sudah tersedia di hadapan anda.
Seterusnya, anda akan mempelajari cara memanfaatkan Google Trends untuk perniagaan anda—sama ada anda mengendalikan kedai dalam talian mahupun kedai fizikal. Anda akan mengetahui tentang fungsi Google Trends, cara alat ini membantu peruncit, produk yang sedang popular pada masa ini, serta kesilapan lazim yang perlu dielakkan.
Apa itu Google Trends?
Google Trends ialah alat percuma daripada Google yang menjejaki carian yang dibuat oleh orang ramai, perubahan minat terhadap carian tersebut dari semasa ke semasa, serta lokasi carian berkenaan berlaku. Berbanding menggunakan angka yang tepat, alat ini mengindeks jumlah carian pada skala 0 hingga 100. Kaedah ini membantu anda membandingkan populariti relatif bagi pelbagai topik, produk atau kata kunci.
Sebagai enjin carian terkemuka di dunia, Google mengendalikan lebih daripada lima trilion pertanyaan carian setiap tahun. Algoritma canggih Google berjaya memahami data carian yang dicari oleh anda dan pelanggan anda. Ini menjadikan Google antara platform terbaik untuk penyelidikan pasaran hampir masa nyata tentang trend membeli-belah bagi mengilhamkan idea penyumberan produk.
Cara Google Trends membantu peruncit
Google Trends ialah penyelidikan pasaran percuma yang boleh anda gunakan hari ini untuk penemuan dan pengesahan produk. Begini caranya:
- Terokai jumlah carian produk. Jangan buang masa melancarkan sesuatu yang tidak dicari oleh sesiapa. Carian pantas di Trends menunjukkan sama ada pembeli sudah pun mencari idea produk anda.
- Semak permintaan bermusim. Mainan perayaan, krim pelindung matahari, peralatan senaman di rumah—kebanyakan kategori mempunyai kitaran tersendiri. Gunakan Trends untuk merancang lebih awal, mengimbangi inventori bermusim dengan produk malar segar, serta mengelakkan kejutan aliran tunai.
- Fahami perbendaharaan kata pelanggan anda. Patutkah anda mengiklankan “berus pengering rambut” atau “berus blowout”? Trends membolehkan anda membandingkan istilah bersebelahan untuk melihat perkataan yang sebenarnya ditaip oleh khalayak anda di Google. Pandangan itu boleh menjadikan teks iklan, SEO dan kempen pemasaran anda jauh lebih berkesan.
10 produk sedang popular pada masa ini di Google Trends
Berikut ialah sebahagian data yang digunakan oleh artikel ini untuk mentakrifkan produk yang “sedang popular pada masa ini”:
- Data peniaga Shopify. Perbandingan pertumbuhan jualan peniaga Shopify di AS pada Jun 2025 berbanding Jun 2024 untuk melihat produk yang melonjak pada musim panas yang lalu.
- Pengesahan Google Trends. Google Trends digunakan untuk mengesahkan momentum permintaan carian sebenar.
- Laporan ConsumerSignals Deloitte. Ini ialah kajian longitudinal tentang produk pengguna yang dibelanjakan isi rumah dan sebabnya. Dapatan terkini menunjukkan apabila pengguna AS berbelanja secara berlebihan, mereka didorong oleh faktor keselesaan (21%), istirehat (16%) dan kegunaan (12%).
- Ramalan runcit 2026 National Retail Federation. Antara lain, laporan ini menyerlahkan kesihatan sebagai fokus utama dengan kajian menunjukkan pilihan snek berfokus protein yang semakin meningkat
Berikut ialah 10 produk sedang popular pada masa ini yang disokong oleh data jualan, tingkah laku carian dan trend perbelanjaan pengguna:
1. Tikar yoga
Sepanjang tahun lalu, minat carian terhadap “tikar yoga” kekal kukuh di Malaysia, dengan lonjakan bermusim yang jelas. Minat carian memuncak sekitar Januari 2026, menurun pada pertengahan tahun dan melonjak semula menjelang penghujung tahun, dengan permintaan keseluruhan kekal melebihi paras awal tahun 2025.

Permintaan ini sejajar dengan tingkah laku pengguna Malaysia. Menurut laporan Vodus 2026, 42% pengguna Malaysia membeli produk Kesihatan & Kesejahteraan dalam tempoh enam bulan lepas — dengan 62% daripada pembeli kategori ini membuat pembelian secara dalam talian, menjadikan kategori ini antara kategori yang mempunyai kadar pembelian dalam talian tertinggi dalam e-dagang Malaysia. Tikar yoga memenuhi keperluan kesejahteraan dan kegunaan sekaligus, menjadikan produk ini pilihan utama dalam kategori ini.
Tikar yoga telah menjadi simbol serba guna bagi kesejahteraan di rumah, yang turut berperanan sebagai alas untuk Pilates, senaman regangan, meditasi dan senaman di rumah. Ini menjadikan tikar yoga satu produk yang berdaya tahan dengan kemuncak bermusim serta permintaan malar segar.
💡Pandangan utama: Permintaan tinggi, tetapi persaingan juga sengit. Bezakan produk anda menerusi bahan mesra alam, penambahbaikan fungsi, reka bentuk bergaya atau pakej gabungan. Jika anda mempunyai idea perniagaan kesejahteraan, jadikan Gaiam sebagai contoh, yang berpindah ke Shopify dan meningkatkan kadar penukaran menggunakan halaman pendaratan berorientasikan visual dan penceritaan, bukannya grid produk biasa.
2. Skirt lilit
Sepanjang tahun lalu, minat carian terhadap “skirt lilit (wrap skirt)” meningkat dengan stabil di Malaysia, dengan lonjakan paling tinggi pada bulan Feb 2026. Google Trends menunjukkan carian skirt lilit meningkat sebelum musim perayaan, sebelum menurun menjelang penghujung tahun, jelas menandakan trend fesyen bermusim.

Trend ini disahkan melalui data Google Trends Malaysia, yang menunjukkan lonjakan carian "skirt lilit" pada musim perayaan awal 2026 — terutamanya menjelang Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Media fesyen turut seiring dengan momentum ini. Sebagaimana yang dilaporkan oleh Cosmopolitan pada Ogos 2025, sesuatu yang bermula sebagai trend mikro skirt selendang—bandana sutera yang diikat sebagai skirt atau digayakan secara berlapis ala gaya Y2K—telah berkembang menjadi skirt lilit (wrap skirt) penuh, disokong oleh rekaan pentas peragaan Musim Bunga tahun 2025 daripada Miu Miu, Dior dan Salvatore Ferragamo.
💡Pandangan utama: Fesyen berubah dengan pantas, tetapi juga berputar mengikut kitaran. Skirt lilit meluncuri gelombang Y2K yang kembali popular selepas era kegemilangan pada tahun 2000-an, sekali gus membuktikan pentingnya memantau kebangkitan semula trend seiring dengan trend mikro baharu. Serlahkan perniagaan anda dengan melancarkan koleksi terhad mengikut lonjakan bermusim dan memadankan skirt dengan barang pelengkap (seperti selipar).
3. Sabun
Carian untuk “sabun” kekal kukuh malah meningkat sepanjang tahun 2025 hingga 2026. Google Trends menunjukkan garis dasar yang mantap berbanding tahun lalu, dengan kemuncak halus menjelang pembelian bermusim.

Pada tahun 2024 sahaja, peniaga Shopify menjual lebih 23 juta ketul sabun dan lebih 18 juta botol syampu. Di Malaysia, trend ini turut ketara — menurut laporan Vodus 2026, 62% pengguna Malaysia membeli produk penjagaan diri & kebersihan dalam tempoh enam bulan lepas, dengan 66% daripada mereka membuat pembelian secara dalam talian — nisbah tertinggi dalam semua kategori e-dagang Malaysia. Apabila anda mengambil kira pendorong pengguna—faktor keselesaan, kegunaan dan kesejahteraan—mudah untuk memahami sebab sabun terus mendominasi ruang produk kecantikan dan penjagaan diri.
Kategori barang mandian dan badan ini malar segar serta penuh peluang keusahawanan. Selebriti Sydney Sweeney melancarkan jenama sabunnya sendiri yang mengandungi “sentuhan” air mandiannya tahun ini. Jika itu tidak membuktikan sabun sedang menjadi fenomena budaya, apa lagi?
Usahawan tabah Lisa Jolly terinspirasi untuk memulakan perniagaan menerusi satu pertandingan Shopify. Beliau belajar sendiri cara membuat sabun berasaskan madu Manuka dalam satu hujung minggu, membina laman web, memperoleh pesanan bernilai $100,000 pada hari lahirnya yang ke-40, dan akhirnya mengembangkan perniagaan kepada beberapa kedai runcit dan sebuah kilang.
Sejak itu, beliau belajar sendiri cara menerbitkan buku sendiri dan dalam masa empat bulan, beliau sudah berjaya memasarkan 15 buah buku di Amazon. Beliau juga mengasaskan syarikat baharu, I Am Hot Honey. Sebagai individu yang menggelar dirinya “pejuang alam sekitar”, madu keluaran Lisa dibungkus dalam bahan kitar semula daripada industri madu. Malah penutup botol produk direka khas untuk ditanam menjadi taman herba mini bagi menyokong agen pendebungaan yang membolehkan penghasilan produk tersebut.
💡Pandangan utama: Mutu barang keperluan asas boleh ditingkatkan. Jenama yang berjaya dalam pasaran sabun bergantung pada pembungkusan mesra alam, sistem isian semula, formulasi semula jadi, serta bau-bauan unik baharu, seperti aroma bakon.
4. Seluar kembara
Data Google Trends menunjukkan “seluar kembara (travel pants)” hampir tiada carian di Malaysia dari tahun 2004 hingga 2022, sebelum melonjak secara mendadak pada tahun 2025 perjalanan kembali rancak.
Walaupun mengambil masa lebih dua dekad, minat terhadap produk ini akhirnya mencecah tahap tertinggi, menjadikan produk ini salah satu contoh paling jelas peluang produk yang memerlukan kesabaran sebelum akhirnya matang menjadi kategori arus perdana.

Menurut Travel Outlook 2025 Skift Research, orang ramai merancang 24% lebih banyak percutian berbanding tahun 2024—dan mereka berpakaian khas untuk tujuan tersebut. Laporan Trend Membeli-belah Musim Bunga 2025 oleh Google turut menamakan “seluar linen berkaki lebar” sebagai gaya percutian yang paling melonjak naik.
Menyentuh soal seluar, pada tahun 2024, peniaga Shopify juga mencatatkan peningkatan jualan “seluar jean barrel”, seiring dengan peningkatan 500% dalam carian Google.
💡Pandangan utama: Bina koleksi bermusim berasaskan kelengkapan percutian, tonjolkan fabrik teknikal (lut udara, tahan kedut) dan sasarkan kumpulan “#airportoutfit” di Instagram menerusi pelancaran kandungan bergaya yang diatur mengikut bulan puncak percutian.
5. Botol air boleh guna semula
Google Trends menunjukkan minat yang turun naik terhadap “botol air boleh guna semula” secara global sepanjang tahun lalu, dengan lonjakan berkala yang didorong oleh saat tular berbanding pertumbuhan mantap. Lonjakan ketara pada Februari dan April, mencerminkan gembar-gembur yang dipelopori jenama—paling ketara Stanley—diikuti penormalan apabila pembeli meneroka gaya alternatif.

Kategori botol air boleh guna semula global bernilai USD9.72 bilion pada tahun 2024, dijangka naik kepada USD10.17 bilion pada tahun 2025 dan USD15.27 bilion menjelang 2034.
Sementara itu, #WaterTok di TikTok meraih 2.5 bilion tontonan—bukti bahawa botol air kini bukan lagi sekadar fungsi, tetapi lebih kepada fesyen yang dicetuskan oleh trend TikTok. Seperti yang dicatatkan secara bersahaja oleh The Economist: “Botol air, aksesori yang menjadi kegilaan Gen Z.”
Contoh terbaik: Memobottle.
Bermula sebagai kempen Kickstarter untuk mengurangkan plastik sekali guna, jenama ini berjaya memungut dana lebih suku juta dolar dan menjadi ikon reka bentuk. Cukup nipis untuk diselitkan ke dalam beg komputer riba, produk ini menyelesaikan masalah sebenar pengembara perniagaan.
Kemudian produk ini menjadi tular, sehingga terpilih dalam beg hadiah calon Oscar untuk Leonardo DiCaprio dan Matt Damon, sekali gus memperkukuh reputasi produk ini sebagai usaha kelestarian dan juga aksesori gaya hidup mewah.
💡Pandangan utama: Percaya atau tidak, kategori ini bukan lagi tentang penghidratan, sebaliknya lebih kepada ekspresi diri. Gen Z menganggap botol seperti pelancaran fesyen, bukan peralatan gimnasium. Fokus pada penawaran reka bentuk yang berani, tonjolkan pencapaian kelestarian anda, dan manfaatkan fasa kemuncak budaya untuk menukar barang keperluan asas menjadi buah tangan yang bergaya.
6. Hiasan rumah
Google Trends menunjukkan minat yang konsisten terhadap “hiasan rumah” di Malaysia sepanjang tahun, dengan kemuncak bermusim yang jelas menjelang musim perayaan - terutamanya Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan jualan hujung tahun.

Angka di sebalik trend ini memang besar. Menurut IMARC Group, pasaran hiasan rumah Malaysia bernilai USD3.29 bilion pada tahun 2024 dan dijangka mencecah USD4.63 bilion menjelang 2033, dengan CAGR 3.87%, didorong oleh urbanisasi, peningkatan pendapatan kelas menengah, dan minat terhadap ruang hidup moden.
Di media sosial, obsesi ini lebih ketara lagi: tanda pagar #homedecor di Instagram mempunyai 174 juta hantaran, menjadikan kategori ini salah satu kategori gaya hidup yang paling bertahan di platform tersebut.
💡Pandangan utama: Hiasan rumah laris apabila berasaskan elemen visual dan mudah dibeli. Manfaatkan visual yang menarik perhatian, pembaharuan mengikut musim, serta barangan bernilai rendah yang menarik minat pembeli pada peringkat awal. Peniaga Shopify Sweet Water Decor telah berjaya membuktikan formula ini, bermula dengan cawan bertulisan tangan yang menjadi tular di Instagram sebelum berkembang kepada lilin dan hiasan rumah utama yang lain. Untuk mencuba strategi e-dagang hiasan rumah ini, mulakan dengan satu produk utama yang menawan, kemudian kembangkan ke seluruh koleksi.
7. Bekalan haiwan peliharaan
Apabila seorang hakim di New York memutuskan pada tahun 2025 bahawa anjing dikira sebagai “ahli keluarga terdekat”, keputusan bersejarah ini mengubah dalam cara haiwan peliharaan dilayan dari segi undang-undang. Selain takrifan undang-undang, fenomena haiwan peliharaan sebagai ahli keluarga memberi kesan langsung terhadap perbelanjaan pengguna - dan Malaysia tidak terkecuali.
Google Trends menunjukkan bahawa carian “bekalan haiwan peliharaan” kekal rendah dan mendatar sepanjang tahun, dengan satu lonjakan dramatik ke tahap tertinggi sekitar Februari 2026 — berkemungkinan didorong oleh promosi jualan besar-besaran, kempen berkaitan haiwan peliharaan, atau saat tular — sebelum kembali menurun dengan pantas. Terdapat juga beberapa lonjakan kecil sekitar Disember 2025, April, Jun dan Julai 2026, yang selari dengan musim cuti sekolah dan perayaan bermusim di Malaysia.

Berlalu sudah zaman bekalan haiwan peliharaan dianggap “tidak wajib”. Di Malaysia, industri haiwan peliharaan dijangka mencecah RM3.5 bilion menjelang 2026, dengan 55% pemilik haiwan peliharaan membeli pakaian atau aksesori untuk haiwan mereka sekurang-kurangnya sekali setahun. Permintaan makanan kucing halal turut menjadi faktor penting bagi 40% pemilik haiwan peliharaan Muslim — satu peluang unik yang membezakan pasaran Malaysia daripada pasaran global
💡Pandangan utama: Kuasai pasaran perniagaan haiwan peliharaan ini dengan berkembang ke arah sektor kesejahteraan (makanan tambahan sokongan sendi, makanan premium berprotein tinggi, produk halal untuk haiwan peliharaan), gaya hidup (bekas najis pembersihan kendiri, pembersih vakum mesra haiwan peliharaan, katil anjing ortopedik) dan barangan mewah (set pakaian sedondon haiwan dan pemilik, beg pembawa berjenama, kotak langganan makanan ringan).
8. Pemerah pipi
Google Trends menunjukkan minat berterusan dan stabil terhadap “pemerah pipi” di Malaysia sepanjang tahun lalu, dengan garis dasar yang kukuh dalam julat 40–60 sepanjang masa — menandakan permintaan carian yang malar segar dan boleh dipercayai. Lonjakan utama berlaku sekitar Februari 2026, bertepatan dengan Hari Valentine dan Tahun Baharu Cina — dua pemangkin utama pembelian kecantikan dan hadiah di Malaysia — sebelum kembali ke paras normal. Lonjakan kedua yang lebih kecil berlaku sekitar Disember 2025, selari dengan musim membeli-belah hujung tahun.

Di Malaysia, trend ini disokong oleh pasaran kecantikan dan penjagaan diri yang kukuh. Pasaran kecantikan dan penjagaan diri Malaysia dijangka mencecah USD3.2 bilion dalam hasil pada 2024, dengan jualan dalam talian menyumbang 18% daripada jumlah hasil pasaran. TikTok Shop pula mendorong 70% daripada penemuan produk kecantikan baharu di Malaysia — dengan demo langsung pemerah pipi mawar dan bibir berwarna peach untuk "glow harian" menjadi antara kandungan paling popular.
Fenomena ini bukan kecil-kecilan. Pemerah pipi cecair Rare Beauty's Soft Pinch sahaja telah menjana USD2 bilion dalam hasil global pada 2023, terjual satu unit setiap sembilan saat — Vogue menggelar produk ini "makeup’s comeback kid".
Sementara itu, Rhode's Pocket Blush menjadi produk "paling banyak diperkatakan" pada Ogos 2024, mengatasi Rare Beauty dan Benefit dalam ranking impak media Launchmetrics.
Instagram dan TikTok terus menyemarakkan "ledakan pemerah pipi" ini. Trend seperti "tomato girl" dan "strawberry girl" di Malaysia menyerlahkan pipi kemerahan yang terserlah, manakala teknik baharu — pemerah pipi draping, sandwiching, glazing — memastikan kategori ini kekal mendapat sambutan hangat.
💡Pandangan utama: Inilah formula yang berkesan dalam industri kecantikan: ambil produk yang digunakan oleh semua orang, berikan sentuhan tersendiri dan anda mempunyai ruang pasaran untuk menjual kosmetik dalam talian. Pertimbangkan jenama dikuasakan Shopify, Glamnetic. Pengasas Ann McFerran mengambil bulu mata magnetik, satu inovasi terhadap barangan kosmetik yang sudah popular, dan mengembangkan perniagaannya ke Sephora dan Ulta. Strategi yang sama boleh digunakan untuk pemerah pipi: cipta semula barang keperluan asas ini dan ini boleh mengubah identiti jenama anda.
9. Serbuk protein
Google Trends menunjukkan minat yang tinggi secara konsisten terhadap “serbuk protein” di Malaysia sepanjang tahun lalu, dengan corak turun naik yang ketara, bukannya lengkung menaik yang lancar.

Protein secara rasmi telah menjadi arus perdana. Di AS, 61% pengguna meningkatkan pengambilan protein tahun lalu, membantu mendorong protein menjadi kategori global bernilai USD114 bilion. Di Malaysia, trend ini turut ketara iaitu pasaran suplemen sukan Malaysia dijangka berkembang pada CAGR 7.2% hingga 2030, didorong oleh budaya kecergasan yang semakin meluas, pengaruh K-pop dan gaya hidup sihat dalam kalangan belia Malaysia, serta pertumbuhan pesat e-dagang dalam kategori kesihatan & kesejahteraan.
Inovasi produk turut berkembang seiring permintaan; Innova Market Insights melaporkan peningkatan 122% dalam pelancaran minuman dan minuman kocak berprotein tinggi yang dilancarkan antara tahun 2020 hingga 2024.
💡 Pandangan utama: Ruang pasaran baharu terletak pada format (stik hidangan tunggal, protein jernih), fungsi (tidur, kesihatan usus, hormon wanita) dan kepercayaan (label bersih, ujian pihak ketiga). Ambil produk keperluan asas yang sudah dikenali, mudahkan penggunaan produk tersebut dan kukuhkan permintaan berulang.
10. Set Lego
Google Trends menunjukkan minat terhadap “set Lego” di Malaysia berkembang secara berperingkat sepanjang tahun, dengan kemuncak jelas semasa musim membeli-belah perayaan. Lonjakan mutlak tertinggi (indeks 100) berlaku pada pertengahan Februari 2026 — kemungkinan besar didorong oleh pembelian hadiah Tahun Baharu Cina atau pelancaran set baharu.

Di TikTok, pencipta kandungan seperti Serena Neel, sering digelar “gadis Lego,” telah mengubah binaan Lego menjadi kandungan penuh emosi dan berpaksikan cerita. Video Angel Tree miliknya sahaja telah membantu membingkai semula Lego sebagai saluran kreatif yang terikat dengan nostalgia dan makna peribadi, menarik berjuta-juta penonton jauh melangkaui khalayak mainan tradisional.
Di Malaysia, LEGO mempunyai pengikut yang kuat merentas tiga kumpulan iaitu ibu bapa yang membeli untuk anak-anak, remaja yang meminati tema Ninjago dan Star Wars dan peminat dewasa (AFOL - Adult Fans of LEGO) yang membina susun atur modular untuk dipamerkan. Malaysia turut menjadi tuan rumah LEGOLAND Malaysia Resort di Johor. Taman tema LEGOLAND pertama di Asia yang mengekalkan keterampilan jenama ini jauh melampaui rak mainan. Pembelian semula set Lego yang telah dihentikan pengeluaran melalui BrickLink, Carousell dan Mudah.my turut menjadi bahagian aktif ekosistem pengumpul Lego Malaysia.
Data pasaran menyokong hal ini. Menurut Circana, jualan mainan dewasa meningkat 12% berbanding tahun sebelumnya pada S1 2025, mencecah USD1.8 bilion di AS, dan kini menyumbang hampir satu pertiga daripada jualan mainan global. Lego mewakili 22% daripada semua pembelian mainan dewasa.
Barclays menambah konteks di sini dengan menunjukkan peningkatan yang lebih meluas dalam pembelian “pick me up”: kemewahan mampu milik (affordable indulgences) yang menawarkan kelegaan tekanan dan detik-detik kecil kegembiraan.
💡 Pandangan utama: Momentum Lego berkisar tentang penjenamaan semula. Peluang tersebut terletak pada penekanan terhadap rak pameran, sistem penyimpanan, kit pencahayaan, set binaan berorientasikan orang dewasa atau aksesori berfokuskan pengumpul. Ambil produk yang sudah dikenali, ubah tujuan di sebalik penggunaan produk tersebut dan permintaan akan menyusul dengan sendiri.
Cara menggunakan Google Trends untuk penyelidikan produk
1. Mulakan dengan skop yang luas dan kecilkan untuk mengenal pasti peluang dalam niche
Carian pantas boleh menunjukkan sama ada minat pengguna semakin meningkat, mendatar atau mereda sebelum anda melabur masa dan bajet dalam inventori.
Berikut ialah langkah awal yang boleh diambil:
- Mulakan di Trending now untuk mengesan isyarat awal sebelum permintaan melonjak sepenuhnya. Paparan ini menyerlahkan produk yang sedang dicari secara aktif oleh orang ramai, sekali gus membantu anda menangkap momentum lebih awal; sebelum muncul dalam carta tahun ke tahun.
- Seterusnya, beralih ke Explore dan tukar kepada Shopping search. Mulakan dengan kategori umum seperti “pelembap” untuk memahami sama ada permintaan adalah stabil, bermusim atau semakin mereda sepanjang tahun lalu.
- Dari situ, gunakan Related queries dan Related topics untuk melihat cara pembeli mengecilkan niat carian mereka. Anda mungkin perasan carian meningkat untuk jenama tertentu (CeraVe, Neutrogena), penggunaan khusus (malam) atau manfaat tambahan (SPF). Di sinilah minat secara umum bertukar menjadi isyarat pembelian yang konkrit.
- Akhir sekali, gunakan fungsi Compare untuk menyusun produk atau subkategori berkaitan secara bersebelahan dan tentukan perkara yang anda lihat: ikutan seketika, lonjakan bermusim atau peluang malar segar yang berbaloi untuk dilaburkan.
2. Kenal pasti trend bermusim dan rancang kalendar pemasaran anda
Bukan semua produk popular sepanjang tahun. Contoh yang paling jelas ialah produk berkaitan Krismas. Orang ramai secara umum tidak membeli hiasan bertemakan Santa pada bulan Jun, dan permintaan tinggi bagi produk perayaan memuncak pada bulan-bulan terakhir setiap tahun.
Produk yang nampaknya tidak bermusim pun sering mempunyai corak pembelian yang berkitar. Google Trends menunjukkan carian untuk “bekas makanan,” contohnya, memuncak pada bulan Ogos — bertepatan dengan permulaan sesi baharu sekolah di Malaysia serta kempen jualan pertengahan tahun yang menggalakkan pembelian bekalan sekolah.
Untuk menganalisis produk popular mengikut musim di Google Trends:
- Analisis tahun ke tahun. Bandingkan minat carian terhadap produk anda pada bulan yang sama merentas tahun berbeza untuk mengenal pasti trend bermusim yang konsisten.
- Cari corak. Perhatikan sama ada minat carian memuncak sekitar peristiwa tertentu, corak cuaca, atau hari perayaan kebangsaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali atau Krismas. Ini mungkin menandakan masa terbaik untuk meningkatkan usaha pemasaran anda.
- Analisis trend kategori bermusim yang lebih luas. Lihat trend keseluruhan dalam kategori produk anda yang lebih luas pada masa berbeza sepanjang tahun untuk menilai sama ada minat terhadap kategori itu meningkat atau menurun. Perspektif yang lebih luas ini boleh membantu anda membezakan antara trend bermusim khusus produk dengan pergerakan pasaran umum bagi kempen pemasaran yang lebih berkesan.
3. Pertimbangkan maklum balas pelanggan
Maklum balas pelanggan, digabungkan dengan data Google Trends, sentiasa menjadi titik permulaan yang bagus untuk melancarkan perniagaan, produk baharu atau perkhidmatan yang mendapat permintaan yang tinggi.
Reka soalan terbuka yang mendorong pelanggan ideal anda membincangkan masalah utama serta kesukaran yang mereka hadapi. Menerusi platform hebat penyelidikan pertanyaan carian termaju seperti Semrush atau Ahrefs, anda boleh menyelami lebih dalam kata kunci ekor panjang bagi pengguna yang cuba mencari jawapan kepada cabaran yang sangat khusus berkaitan idea produk anda untuk pengesahan lanjut.
4. Manfaatkan pertanyaan berkaitan dan topik berkaitan sebagai lombong emas kata kunci
Selain memaparkan tahap populariti sesuatu kata kunci, Google Trends turut mendedahkan carian sampingan dan tema berkaitan yang digunakan oleh orang ramai seiring dengan kata kunci tersebut.
Di sinilah pertanyaan berkaitan (frasa tepat yang ditaip oleh orang ramai) dan topik berkaitan (konsep lebih luas yang mereka terokai) memainkan peranan penting.
Gunakan data ini untuk mengenal pasti bahasa tepat yang digunakan pelanggan anda, serta trend baru muncul yang boleh disasarkan dalam SEO, iklan atau perihalan produk.
Sebagai contoh, bagi carian "laser hair removal":
- Peningkatan Pertanyaan Berkaitan: Carian bagi "soprano titanium laser hair removal" melonjak ketara (+1,250%), manakala "laser hair removal price" (+130%), "home laser hair removal" (+130%), dan "ulike laser hair removal" (+100%) turut mencatatkan peningkatan kukuh. Ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap teknologi mesin khusus, ketelusan harga, serta penyelesaian penjagaan sendiri di rumah (at-home devices).
- Corak Topik Berkaitan: Topik berkaitan seperti "India", "Dermatology", "Data", "Australia", dan "Law" berada pada tahap Penembusan (Breakout). Ini menandakan perkembangan minat merentasi geografi global, fokus terhadap aspek kepakaran perubatan/kulit, serta isu kawal selia dan undang-undang berkaitan rawatan tersebut.

Begini cara penggunaan:
- Cari istilah produk teras anda.
- Imbas pertanyaan carian berkaitan untuk mengenal pasti niat pembelian pelanggan: Adakah mereka sensitif terhadap harga? Berfokus pada lokasi? Ingin tahu tentang barangan alternatif?
- Gunakan topik berkaitan untuk memetakan set bersaingan anda dan mencari niche berhampiran yang berbaloi untuk diuji.
- Gabungkan pandangan niche SEO ini ke dalam penyasaran kata kunci, penulisan iklan dan strategi perdagangan barangan, contohnya, bina halaman pendaratan khusus bandar atau pakej perkhidmatan untuk menangani kebimbangan harga.
5. Bandingkan idea produk untuk menemui kelebihan menang anda
Ciri “Compare” Google Trends ialah alat analisis persaingan yang ringkas. Anda boleh menyusun dua produk atau lebih bersebelahan dan melihat produk yang lebih pantas menarik perhatian serta prestasi masing-masing mengikut kawasan.
Begini cara menggunakan:
- Taip produk atau topik pertama anda.
- Klik butang + Compare dalam bar carian.
- Tambah produk atau topik kedua anda.
- Carta kini akan memaparkan kedua-dua garis secara bersebelahan, menggunakan skala relatif 0–100 yang sama.
Ambil istilah carian “tikar yoga” berbanding “pilates reformer” di Malaysia sepanjang tahun lalu:
- Tikar yoga (biru) dan pilates reformer (merah) bergerak seiring pada paras rendah dan mendatar (indeks 10–25) dari September 2025 hingga awal Januari 2026 — tiada yang menunjukkan banyak pergerakan pada tempoh ini.
- Lonjakan dramatik "tikar yoga" (~akhir Januari 2026): Garis biru melonjak secara mendadak ke indeks 100 — puncak tertinggi sepanjang tempoh keseluruhan — manakala "pilates reformer" kekal mendatar dan tidak terjejas. Ini merupakan peristiwa terpencil satu minggu, bukan trend beransur-ansur, mencadangkan pencetus tertentu seperti momen viral, jualan besar-besaran atau peristiwa promosi khusus tikar yoga.
- Penstabilan selepas lonjakan (Feb–Mac 2026): Minat tikar yoga jatuh semula tetapi menetap pada garis dasar baharu yang lebih tinggi (~20–30) — lonjakan tersebut nampaknya meninggalkan kesan yang berkekalan.
- Perbezaan semakin melebar (Apr–Jun 2026): Tikar yoga terus meningkat secara sederhana manakala pilates reformer kekal mendatar (~10–15), dengan jurang antara keduanya semakin melebar.
- Penghujung tahun yang kukuh (Jul–Sept 2026): Minat tikar yoga meningkat lebih ketara, mencecah paras tempatan tertinggi (~50–55) sejak lonjakan Januari — manakala pilates reformer kekal mendatar sepanjang masa, tidak pernah melebihi indeks 20.

Jika anda seorang peruncit dalam kategori kesejahteraan, pandangan ini menunjukkan bahawa peralatan yoga ialah pilihan lebih selamat untuk inventori malar segar, manakala peralatan pilates mungkin menjadi produk niche jualan tambahan yang bijak untuk pembeli kecergasan yang lebih setia. Anda boleh:
- Mengambil stok pelbagai jenis tikar yoga (mesra alam, bercetak panduan penjajaran, pakej dengan aksesori).
- Menguji pilates reformer sebagai produk premium bernilai tinggi untuk segmen yang lebih kecil dan setia.
Manfaatkan ciri Compare Google Trends untuk kelebihan bersaingan:
- Lihat tahap permintaan paling kuat mengikut kawasan. Membandingkan produk secara bersebelahan menunjukkan produk yang mempunyai minat carian lebih tinggi atau lebih konsisten. Ini membantu anda memutuskan sama ada mahu bertaruh pada pasaran niche yang baru muncul atau melabur dalam pasaran yang lebih besar dan mantap.
- Kenal pasti jurang dalam pasaran. Perbandingan bukan sahaja menyerlahkan pemenang dan yang tewas, malah perkara yang masih belum diterokai. Jika produk niche sedang berkembang tetapi kurang diwakili, itu ialah peluang untuk anda menempatkan diri anda secara berbeza—sama ada melalui harga, ciri atau pemasaran.
- Utamakan sumber. Mengetahui produk mana yang mempunyai permintaan asas lebih tinggi bermakna anda boleh memperuntukkan inventori, perbelanjaan iklan dan penciptaan kandungan dengan lebih strategik—sambil masih memberi ruang untuk bereksperimen dengan yang kurang menonjol.
6. Sahkan permintaan produk melangkaui Google Trends
Data Google Trends ialah petunjuk yang baik tentang tabiat carian pengguna, tetapi bukan semua topik yang sedang popular pada masa ini merupakan produk yang dibeli orang ramai. Sahkan idea produk anda dengan membandingkan data daripada beberapa pasaran sebelum membelanjakan beribu-ribu dolar untuk pembangunan produk:
- Cari pesaing yang menjual produk sama. Langkah mudah seperti memerhati jumlah pesaing yang menawarkan produk tersebut boleh menandakan ketepuan pasaran atau peluang untuk pembezaan.
- Terokai platform pasaran. Nilai tahap permintaan, strategi penetapan harga dan ulasan pelanggan bagi produk serupa di platform pasaran.
- Analisis trend media sosial. Carian tanda pagar di Instagram atau TikTok yang pantas (contohnya #NighttimeSkincare, #SPFMoisturizer) akan menunjukkan sama ada perbincangan produk tersebut benar-benar meriah dengan penglibatan sebenar—atau sekadar suam-suam kuku.
- Tinjau khalayak sasaran anda. Maklum balas daripada bakal pelanggan mengesahkan sama ada minat yang ditunjukkan dalam Google Trends bertukar menjadi niat beli sebenar. Ini merupakan salah satu cara terbaik untuk memastikan sama ada idea produk anda mampu terjual.
💡Petua pro: Google Trends menunjukkan hala tuju minat pengguna, tetapi minat tidak semestinya bertukar menjadi jualan untuk perniagaan anda. Sebaik sahaja anda mengesan idea yang berpotensi, sahkan idea tersebut dengan data pembelian sebenar. Pentadbir Shopify memberikan anda satu sumber kebenaran merentasi jualan, inventori dan titik sentuh pelanggan, sekali gus membantu anda melihat sama ada sesuatu trend benar-benar bertukar menjadi pendapatan.
Melangkah lebih jauh: Ciri canggih Google Trends
Sebaik sahaja anda selesa mengendalikan ciri asas, tiba masanya untuk meneroka penapis yang lebih canggih yang ditawarkan oleh Google Trends.
Carian berdasarkan lokasi
Apabila anda membuat carian bagi sesuatu kata kunci di Google Trends, anda akan melihat peta yang berwarna mengikut lokasi kata kunci itu paling popular. Kawasan lebih gelap bermaksud minat carian relatif lebih tinggi.

Di sebelah kanan, anda akan menemukan senarai kedudukan negeri, bandar atau negara yang mempunyai permintaan paling tinggi. Menuding pada sesuatu wilayah memaparkan lebih banyak butiran tentang sejauh mana carian itu berbanding kawasan lain di lokasi yang sama.
Data lokasi membantu anda mengenali kawasan yang perlu diberi tumpuan. Jika carian “laser hair removal” memuncak di Wilayah Persekutuan dan Selangor, itu merupakan isyarat untuk menyetempatkan kempen iklan, menyasarkan iklan, atau menjalankan ujian paparan pop timbul di laman web bagi pasaran tersebut.
Frasa khusus membeli-belah
Tukar penapis daripada Web Search kepada Shopping untuk menapis carian sekadar ingin tahu biasa dan menyerlahkan pertanyaan dengan niat membeli.

Daripada seseorang membuat carian Google "blush" untuk mendapatkan inspirasi, anda sebaliknya akan melihat carian spesifik seperti "dior blush"—isyarat bahawa pembeli sudah pun mengetahui produk yang mereka inginkan dan bersedia untuk membuat pembelian.

Istilah ‘Rising’ dan ‘Penembusan’
Tukar tab Related Queries atau Related Topics kepada Rising (ini sepatutnya menjadi pilihan lalai). Bahagian ini menunjukkan kepada anda carian yang paling banyak meraih momentum bersama kata kunci anda. Peratusan mencerminkan sejauh mana sesuatu istilah berkembang berbanding tempoh masa sebelumnya.

Jika anda melihat Penembusan dan bukannya peratusan, ini bermaksud carian telah melonjak melebihi 5,000%: isyarat yang kuat bagi minat tular atau aliran baharu yang berkembang pesat.
Berdasarkan data carian untuk kategori laser hair removal:
- Pertumbuhan Carian Spesifik (Related Queries): Carian bagi "soprano titanium laser hair removal" melonjak sebanyak +1,700%, manakala carian peranti rumah "ulike laser hair removal" meningkat +120%. Carian kaedah alternatif seperti "diode laser hair removal machine" (+500%) dan "electrolysis hair removal" (+400%) turut mencatatkan kenaikan tinggi.
- Topik Berkaitan (Related Topics): Topik-topik utama seperti "News", "Review", dan "Australia" mencatatkan status Penembusan (>5,000%), menandakan lonjakan carian maklumat dan ulasan secara meluas.
Dapatan ini memberikan dua petunjuk penting:
- Penemuan Pengguna Sedang Berlaku: Pengguna secara aktif mencari jenama, mesin khusus, dan teknologi peranti (seperti Soprano Titanium atau Ulike) mengikut nama buat kali pertama dalam skala besar.
- Peluang Bertindak Sebelum Pasaran Tepu: Anda boleh mengambil langkah awal sebelum pasaran menjadi tepu—sama ada dengan menawarkan peranti/perkhidmatan berkaitan, menghasilkan kandungan ulasan (review), atau membangunkan penyelesaian alternatif yang memenuhi permintaan ini.
Jumlah carian relatif berbanding mutlak
Salah faham besar tentang Google Trends ialah anggapan bahawa angka-angka itu mewakili jumlah carian mentah. Sebenarnya tidak.
Trends menggunakan skala relatif 0 hingga 100 untuk menunjukkan cara minat terhadap sesuatu istilah berubah dari semasa ke semasa. Skor 100 tidak bermaksud 100,000 orang membuat carian—itu cuma bermaksud itulah kemuncak populariti istilah tersebut dalam masa dan lokasi yang dipilih.
Hal ini penting kerana:
- Produk niche seperti “pilates reformer” mungkin tidak pernah mencapai angka mentah yang sama seperti “tikar yoga”, tetapi pertumbuhan relatifnya masih boleh menandakan trend yang menguntungkan dalam niche berbelanja tinggi
- Untuk memahami permintaan mutlak, anda perlu memadankan data Google Trends dengan alat seperti Shopify Analytics, jumlah carian pasaran (Amazon, Etsy), atau platform iklan
Kesilapan lazim yang perlu dielakkan semasa menggunakan Google Trends untuk penemuan produk
Google Trends mungkin merupakan salah satu alat paling mudah untuk digunakan, tetapi juga antara yang paling mudah disalahtafsirkan. Berikut tiga kesilapan utama yang perlu diawasi:
- Tempoh pelaporan yang terlalu sempit. Melihat data hanya bagi tempoh 30 atau 90 hari lalu boleh menjejaskan perspektif anda. Sesuatu produk mungkin kelihatan seolah-olah “sedang melonjak”, sedangkan pada hakikatnya cuma mengalami ketidaktentuan bermusim. Kembangkan julat carian kepada sekurang-kurangnya 12 bulan—dan idealnya tiga hingga lima tahun—untuk memahami sama ada anda mengesan trend sementara atau trend yang mampan.
- Mengabaikan konteks dan turun naik serantau. Carian untuk "pelembap udara" mungkin melonjak di kawasan yang mengalami musim sejuk seperti di Eropah atau Amerika Utara, tetapi kekal mendatar di Malaysia yang beriklim tropika sepanjang tahun. Jika anda tidak menapis mengikut lokasi, anda berisiko membuat keputusan berdasarkan permintaan yang tidak wujud dalam pasaran sasaran anda. Gunakan penapis Malaysia dalam Google Trends untuk memastikan data yang diperoleh mencerminkan permintaan sebenar pelanggan tempatan anda.
- Memberi tumpuan pada trend jangka pendek. Mikrotren TikTok (seperti solek “strawberry girl”) boleh meningkatkan carian secara mendadak, tetapi itu tidak menjamin daya tahan. Imbangi peluang jangka pendek dengan isyarat permintaan jangka panjang.
Menyepadukan Google Trends ke dalam strategi produk keseluruhan anda
Google Trends berfungsi paling baik apabila dimasukkan ke dalam perancangan perniagaan biasa anda. Begini cara memanfaatkan data tersebut:
- Pemasaran. Gunakan kemuncak carian untuk menentukan masa kempen anda. Contohnya, carian untuk "tikar yoga" di Malaysia melonjak secara dramatik pada akhir Januari 2026 — kemungkinan didorong oleh momen viral atau promosi besar-besaran. Itu ialah isyarat untuk melancarkan promosi, kempen pempengaruh, atau tawaran gabungan menjelang tempoh tersebut. Rancang juga kempen menjelang Tahun Baharu Cina dan Hari Valentine untuk kategori kesejahteraan dan kecantikan, serta November–Disember untuk kategori hadiah seperti set LEGO.
- Inventori. Biarkan data pelbagai tahun membentuk paras stok anda. Jika permintaan untuk "serbuk protein" di Malaysia telah berkembang secara konsisten — dengan garis dasar yang hampir berganda dalam tempoh 12 bulan — itu ialah kategori yang selamat untuk dijadikan asas pelbagai produk anda.
- Penetapan harga dan peletakan kedudukan. Istilah “rising” atau penembusan (breakout) menandakan minat sedang memuncak. Itu ialah peluang untuk menaikkan margin, memperkenalkan pilihan premium, atau menggabungkan produk berkaitan sebelum ruang itu menjadi terlalu sesak.
- Perancangan jangka panjang. Jejak perubahan kategori dari semasa ke semasa. Jika “peralatan senaman di rumah” semakin mendatar manakala carian “tikar yoga” terus meningkat, anda sudah mempunyai isyarat awal tentang hala tuju untuk berkembang seterusnya.
Soalan lazim produk Google Trends
Bagaimanakah cara mencari produk di Google Trends?
Pergi ke halaman utama Google Trends dan taip kata kunci atau frasa yang ingin anda analisis. Anda akan melihat graf yang menunjukkan trend carian bagi istilah tersebut, bersama-sama data setempat dan pertanyaan berkaitan yang akan membantu anda memahami langkah seterusnya. Ini titik permulaan yang bagus untuk penyelidikan produk, terutama bagi perniagaan e-dagang yang tidak mempunyai data POS.
Bagaimanakah cara melihat populariti sesuatu produk di Google Trends?
Taip nama produk ke dalam Google Trends, tetapkan wilayah dan rangka masa anda, dan lihat carta minat carian. Skor (0 hingga 100) menunjukkan populariti relatif dari semasa ke semasa, bukan angka mentah.
Apakah niche paling banyak dicari di Google?
Carian Google paling lazim di Malaysia merangkumi platform utiliti dan hiburan — seperti YouTube, Shopee, Lazada, dan ChatGPT. Selain itu, trend kesejahteraan terus mendominasi pasaran Malaysia menjelang 2026, dengan produk berfokus kesihatan — termasuk suplemen, penjagaan kulit semula jadi, dan makanan berprotein tinggi — serta gaya hidup minimalis mewah semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna Malaysia yang celik digital.
Bolehkah Google Trends membantu dengan SEO?
Ya. Pertanyaan meningkat mendedahkan bahasa tepat yang digunakan oleh orang ramai, yang boleh anda gabungkan ke dalam perihalan produk, catatan blog dan penulisan iklan. Itu ialah alat penemuan kata kunci percuma yang tersembunyi di depan mata.
Bagaimanakah saya menggunakan Google Trends untuk perniagaan saya?
- Sahkan permintaan sebelum menambah produk baharu.
- Selaraskan masa promosi sekitar lonjakan bermusim.
- Setempatkan kempen dengan data serantau.
- Kesan istilah meningkat untuk SEO dan kandungan.
Bagaimanakah saya mencari produk paling banyak dicari?
Masukkan kategori produk ke dalam Google Trends dan beralih ke penapis Shopping. Dengan cara itu anda tidak perlu membuang masa pada carian ingin tahu dan anda boleh melihat istilah dengan niat membeli paling tinggi.

